Penyanyi Sufian Suhaimi menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records apabila muzik video Di Matamu mencatat jumlah tontonan tertinggi bagi kategori lagu Melayu dan artis tempatan di saluran YouTube.
Lagu yang dilancarkan pada 23 Mac tahun lalu yang juga tarikh dia sepatutnya mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Elfira Loy itu meraih lebih 56 juta jumlah tontonan.
Mengulas pengiktirafan itu, Sufian menyifatkan ia sebagai pencapaian di luar jangkaan, malah berbangga Di Matamu melakar kejayaan bermakna ketika usia pembabitannya dalam bidang seni masih muda.
“Alhamdulillah atas pengiktirafan yang diberikan. Saya berterima kasih kepada pencipta lagu itu yang juga sahabat saya, Rinkarnaen dan Sirkhan.
“Mereka berhempas-pulas menghasilkan lagu ini untuk memberikan kepuasan kepada peminat yang berulang kali mendengar Di Matamu,”
– Sufian Suhaimi
Sebelum ini, Di Matamu turut menghadiahkan Sufian trofi Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) pada 4 Februari lalu.
Sufian berkata, dia berharap kejayaan Di Matamu menjadi titik permulaan untuk meraih lebih banyak pencapaian pada masa akan datang.
“Setiap kali merakamkan lagu, saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk mencapai sesuatu kejayaan. Alhamdulillah, Di Matamu diterima dengan begitu baik.
“Sudah pasti, saya mengharapkan lagu yang saya rakamkan selepas ini akan mendapat maklum balas yang lebih baik,”
– Sufian Suhaimi
Tahniah buat Sufian Suhaimi!