in ,

Tuntutan Bersemuka Tidak Dilayan, Fizz Fairuz Nekad Buat Laporan Polis

Pelakon Datuk Fizz Fairuz mengotakan kata-katanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali akaun media sosial selepas berakhirnya tempoh tujuh hari yang dituntut olehnya sebelum ini.

Sebelum ini, Fizz meminta pengendali akaun berkenaan tampil berjumpanya dan juga membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari. Bagaimanapun sehingga jam 12 tengah hari tadi, tidak ada maklum balas daripada pihak tersebut untuk bersemuka dengan dirinya.

Justeru Fizz sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada jam 2 petang tadi.

Fizz Fairuz Nekad Buat Laporan Polis

“Saya sudah beri dia tempoh dan bertolak ansur tetapi tidak ada respons daripada pihak terbabit.

“Jadi bila tempoh sudah tamat, saya serahkan kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,”

– Fizz Fairuz

Minggu lalu, sebuah akaun Instagram menggunakan nama Makcik Puaka telah memuat naik mengenai berita seorang Datuk Seri ditangkap khalwat.

Biarpun tidak menyebut nama Fizz Fairuz di status Insta Stories miliknya, bagaimanapun dia memberi beberapa bayangan yang menjurus ke arah pelakon tersebut sehingga mengundang spekulasi ramai pihak.

Walaupun akaun tersebut telah membuat permohonan maaf menerusi laman Insta Stories, namun Fizz tetap dengan pendiriannya untuk meminta penggendali akaun bersemuka dengan dirinya secara berdepan.

Mengakui tidak ambil pusing pada mulanya, suami kepada Datin Almy Nadia itu bagaimanapun merasakan ia tidak adil kerana perkara itu secara tidak langsung telah mencemarkan maruah dan nama baiknya.

“Mula-mula saya tak ambil pusing, tapi bila ada pihak lain petik nama saya, takkan saya nak berdiam diri lagi. Isu buruk, kontroversi mesti nak kaitkan dengan nama saya,”

– Fizz Fairuz

Pada 7 April lalu, Fizz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 40, memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang mengaitkannya dengan isu khalwat di pulau peranginan itu, baru-baru ini.

Fizz berkata, dia tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai laporan yang dibuat atas nasihat peguam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Premiere With Budiey Filem UGLY DOLLS

Cara Untuk Dapatkan Kopi Espresso Cream Latte bertemakan GAME OF THRONES Percuma