Justeru berlangsung majlis memperkenalkan wajah baharu NASIONALfm di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Merupakan radio tonggak RTM, sematang tempohnya bersiaran selama 73 tahun, wajah baharu ini perlu bagi memastikan pendengar terus melekat dan setia bersama NASIONALfm seiring dengan pengisian yang disalurkan. NASIONALfm adalah sejarah yang tak mungkin dilupakan, NASIONALfm adalah lambang kemajuan bidang penyiaran, matang mengikut peredaran, dan kekal sentiasa di hati.
Kehebatan dengan 14 frekuensi utama, 30 frekuensi di seluruh negara dan capaian melalui aplikasi RTM Mobile, Astro 869 serta saluran 701 MY Freeview, bersiaran 24 jam tanpa henti dan terus memberikan informasi berkaitan agenda nasional dan perpaduan dengan penekanan kepada informasi berita, negara bangsa, agama dan nilai-nilai murni, kekeluargaan, industri kreatif, sukan dan juga program khidmat masyarakat.
Jajaran tonggak utama yang diperkenalkan adalah GrandStand@Nasional penekanan kepada MOJO (Mobile Journalist) untuk lapor terus bagi seluruh negeri. GrandStand@Nasional Khas diwujudkan sempena dengan agenda nasional seperti Parlimen, belanjawan, pertabalan, pilihan raya, bencana, kemangkatan atau sebagainya.
Nasional Xpress diperkenalkan dengan format lagu muzik tanpa henti selama satu jam bagi setiap segmen. NASIONALfm juga satu-satunya stesen radio yang menyiarkan informasi dan berita setiap jam menerusi medium Berita Nasional, Berita Dunia dan Berita Ringkas.
Kandungan tonggak seterusnya diperkenalkan adalah Spektrum, penekanan kepada belia, remaja, wanita dan kanak-kanak dengan konsep penjelasan isu-isu semasa serta penerbitan dokumentari radio, majalah, bual bicara dan drama radio.
Carta Pujaan 10 diperkenalkan semula dengan nafas baharu, sebanyak 40 buah lagu terbaik mingguan diundi dan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis. Kandungan Tonggak seterusnya adalah agama dan nilai-nilai murni dengan penekanan kepada rancangan Hijrah, Yang Arif Kan Ada (YAKA) dan Halawatul Quran.
Barisan penyampai yang mantap untuk tahun 2019 mengukuhkan lagi jenama NASIONALfm Sentiasa Di Hati dengan sasaran audien bermula usia 18 hingga 50 tahun, di samping lagu-lagu hits kontemporari dari tahun 1980an hingga terkini.
16 penyampai NASIONALfm iaitu Odey Petra, Sonic, Kroll, Ewan, Khai Arba, Aliff, Yuyue Nurul, Nadia, Dyan, Ashila, Ranie, Lynn Zainol, Wawa, Mala, Dyya Nawai dan Aida Gia.
Sejarah NASIONALfm
- RADIO MALAYA – 1 APRIL 1946
- RADIO MALAYSIA – 16 SEPTEMBER 1963
- RANGKAIAN 1 – 17 NOVEMBER 1969
- RADIO 1 – 19 APRIL 1971
- NASIONALFM SEGALANYA DI SINI – 1 APRIL 2004
- KLASIK NASIONAL – 12 OGOS 2006
- NASIONALFM SENTIASA DI HATI – 4 JANUARI 2012
Sejarah NASIONALfm Sentiasa Di Hati bermula 73 tahun yang lalu dengan tertubuhnya Radio Malaya pada 1 April 1946 yang bersiaran waktu itu di Jabatan Penyiaran Singapura (Siaran Radio). Pada awal tahun 50-an, aktiviti penyiaran di Malaya beroperasi dari studio sementaranya di Jalan Young, kini dikenali dengan nama Jalan Cenderasari di Kuala Lumpur dan kemudiannya pada tahun 1956 berpindah ke Bangunan Persekutuan (Federal House), Kuala Lumpur.
Di sinilah bermulanya bidang penyiaran negara yang terus berkembang diikuti dengan penubuhan pula beberapa stesen kawasan disamping yang sedia ada di Sarawak dan Sabah.
Siaran iklan perniagaan di radio juga bermula pada tahun 1960 yang menjadi salah satu sumber hasil baru bagi kerajaan. Sesuatu yang menarik untuk diketahui ialah pengenalan “INILAH RADIO MALAYSIA” mula diungkapkan oleh juruhebah serentak dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Bidang penyiaran kemudiannya mengorak setapak lagi apabila perkhidmatan televisyen diperkenalkan pada 31 Disember 1963 dari studionya di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Operasi siaran kemudiannya berpindah ke Kompleks Angkasapuri dan memulakan siaran pada 6 Oktober 1969. Pada 17 November 1969, Rangkaian 1 diwujudkan hasil penggabungan Radio Malaysia dan TV Malaysia (RTM).
Di Kompleks Angkasapuri, bidang penyiaran negara terus berkembang pesat. Radio dan televisyen berjalan seiring. Perkhidmatan Radio 1 memulakan perkhidmatan 24 jam pada 19 April 1971. Penambahan waktu siaran ini bertujuan memenuhi keperluan pendengar yang sedang menjalankan tugas selepas waktu tengah malam seperti anggota keselamatan, petugas di hospital, pemandu kenderaan awam dan pengangkutan serta pelajar.
Pada 1 April 2004 merupakan penjenamaan semua stesen radio RTM. Radio 1 dikenali dengan nama Nasionalfm ~ Segalanya Di Sini sehinggalah penggabungan NASIONALfm dan Klasikfm pada 12 Ogos 2006 dan terus dikenali dengan nama Klasik Nasional. Namun, 6 tahun selepas itu, pada tanggal 4 Januari 2012, sekali lagi Nasionalfm berdiri sendiri dengan tema berbeza dikenali dengan nama NASIONALfm ~ Sentiasa Di Hati.