Pelakon, Nur Fazura Sharifudin tetap dengan pendiriannya yang mahukan aktor Datuk Hans Isaac memohon maaf atas penghantaran mesej WhatsApp terhadapnya berkenaan isu penyampaian anugerah pada malam Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Universal Music Malaysia yang mewakili Fazura dan suaminya, Fattah Amin, pelakon Manisnya Cinta di Cappadocia itu mendakwa pihak Astro perlu menjernihkan keadaan berkenaan kejutan membawa Fattah selaku penyampai bersama bagi Anugerah Khas Juri FFM30.
“Selaku anak seni yang sudah berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri, saya tahu protokol majlis rasmi.
“Apa yang berlaku sekarang mencalarkan nama baik saya dan suami. Selain itu, kiriman mesej dari Hans Isaac memburukkan lagi situasi dan saya memohon agar beliau meminta maaf atas tindakannya,”
– Fazura
Assalamualaikum dan salam hormat buat semua. Kami, mewakili pihak Fazura dan Fattah Amin dengan rendah hati ingin memberi pencerahan dan memperbetulkan beberapa fakta mengenai polemik yang telah berlaku sewaktu malam anugerah Festival Filem Malaysia 30 (FFM30).
1. Adalah perkara yang telah berlaku pada malam tersebut di mana Fazura dikatakan sengaja membawa bersama suaminya, Fattah Amin ke atas pentas untuk mengumumkan Anugerah Khas Juri pada FFM30 sebagai satu tuduhan tidak berasas.
Fazura tidak pernah bertegas apa lagi memberi kata dua kepada pihak produksi, Astro atau FFM sendiri untuk membawa bersama Fattah ke atas pentas dan menyampaikan anugerah tersebut sehingga membelakangkan dua rakan penyampai lain iaitu Dato Hans Isaac dan Maya Karin.
Sebaliknya, segala keputusan dibuat oleh pihak produksi iaitu Astro yang menyatakan kemunculan Fattah bersama Fazura di atas pentas adalah sebuah elemen kejutan dalam majlis gilang gemilang tersebut.
Jika mengikut perancangan yang telah diatur oleh pihak Astro, Fattah sepatutnya menjadi penyampai untuk anugerah lain, tetapi ia ditukar pada saat akhir. Sebagai ‘tetamu’, Fazura dan Fattah hanya menjalankan tanggungjawab dan memberi kerjasama sebaiknya buat seluruh produksi demi kelancaran majlis.
Sekali lagi ingin ditegaskan, keputusan Fazura muncul di pentas menyampaikan anugerah Khas Juri bersama Fattah adalah bukan keputusan pasangan tersebut. Ia adalah sebuah komitmen yang dipersetujui setelah mendapat arahan daripada pihak produksi iaitu Astro.
2. Fazura berasa terkilan dengan sikap Dato Hans Isaac yang tanpa usul periksa telah menghantar kiriman WhatsApp menyatakan kekesalan terhadap tindakan kurang bijak dan tidak menghormati format majlis kepada Fazura kerana membawa Fattah, yang menurut Dato Hans Isaac, tidak termasuk dalam senarai penyampai pada malam itu.
Dengan rendah hati, Fazura meminta agar pihak Hans Isaac melakukan permohonan maaf kepadanya kerana apa yang dilemparkan oleh Hans sama sekali tidak berasas dan bukan di bawah kawalan Fazura.
Sekali lagi, Fazura hanya menerima arahan daripada pihak produksi untuk tindakannya bersama Fattah pada malam itu.
3. Sebagai seorang pelaku seni yang telah lebih 10 tahun berada dalam industri hiburan dan meneroka banyak pasaran di luar negara, Fazura begitu sedar tentang garis profesional dan peribadi.
Maka adalah tidak wajar untuknya mencampur adukkan urusan karier dan peribadi yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai anak seni berkaliber.
4. Dengan ini, pihak kami menyeru semua pihak yang terlibat termasuk Astro, Hans Isaac atau Finas sendiri agar memberi kerjasama untuk memberi pencerahan kepada masyarakat tentang polemik yang melanda.
Sesungguhnya insiden yang berlaku sedikit sebanyak mencalarkan imej Fazura dan Fattah. Justeru, pencerahan yang diberikan oleh semua pihak akan membuang salah sangka dan ketidak percayaan pihak luar terhadap pasangan tersebut.
Sekali lagi, dengan rendah hati, pihak kami berharap agar polemik ini dapat berakhir dengan baik demi kesejahteraan industri hiburan kita.
Salam hormat.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Kandungan Astro, Namanzee Harris pula enggan memberi sebarang komen berkenaan isu ini memandangkan ia sedang dalam perbincangan bersama pihak Finas.
“Pihak kami sedang berbincang dengan Finas untuk meneliti semula perkara ini, jadi tidak manis untuk mengulas lanjut berkenaan apa yang terjadi,”
– Ketua Bahagian Kandungan Astro, Namanzee Harris
Terdahulu, kekecohan timbul apabila Fazura mendakwa ada pihak yang menuduhnya meletakkan syarat mahu tampil bersama Fattah untuk menyampaikan anugerah pada malam FFM30 Sabtu lalu.