Filem berjudul BU (KASIH SUCI) akan menemui penonton di pawagam mulai 11 April 2019 dan diterbitkan oleh mm2 Entertainment. Filem arahan Jeany Amir ini menerapkan nilai kasih sayang antara ibu dan anak, filem ini juga sarat dengan elemen pengajaran. Pastinya akan mengundang air mata penonton. Filem ini dilakonkan oleh pelakon hebat Malaysia seperti Remy Ishak, Rashidi Ishak, Nadiya Nisa, Iedil Putra, Nadia Brian, Tia Sara, Wan Hanafi Su, Dian P. Ramlee dan ramai lagi.
Sebelum kita menonton apa kata kita baca dulu sinopsis ringkas filem ini. Impian Kak Mah untuk mendukung cucu mula retak apabila menantu perempuannya, Diana bercadang menangguh pelan mengandung bayi demi masa depan kerjayanya. Walaupun dapat sokongan daripada suaminya, Zack, namun Kak Mah tidak setuju dengan keputusan itu. Lebih teruk lagi, Kak Mah dan Diana juga tidak tahu tentang syarikat arkitek kepunyaan Zack dah gulung tikar dan kini dia masih menganggur.
Aishah, seorang suri rumah berasa hidupnya semakin tertekan dan tidak dihargai apabila suaminya, Norman yang bekerja sebagai doktor lebih fokus pada kerja daripada dirinya. Anak perempuan remaja, Julie pula jarang berada di rumah dan suka bergaul dengan komuniti cosplay. Hubungan di antara Aishah dengan Norman dan Julie yang semakin renggang menyebabkannya mula meragui keputusan sendiri yang sanggup lepaskan impian sendiri demi keluarga tetapi pengorbanannya tidak dihargai sepenuh oleh mereka.
Hasrat untuk menimang cahaya mata oleh Hafiz dan isterinya Norimah terkabul apabila Norimah disahkan dah hamil selepas mereka mencuba beberapa tahun.
Walaupun Hafiz yang bekerja sebagai tukang masak dipecat tetapi hubungan mereka semakin rapat malah Norimah menyokong Hafiz untuk mengejar impiannya menjadi seorang novelis. Tetapi disebabkan Norimah yang dah berumur 40 tahun, kandungan bayinya berdepan dengan risiko tinggi dan perlu dijaga dengan sebaik mungkin.
Keadaan menjadi semakin serius dan garisan kehidupan mereka mula bersilang apabila Zack sedang mengejar Diana yang tengah mengamuk itu terlanggar Aishah yang tertekan dengan layanan ahli keluarganya. Keadaan Aishah tidak stabil dan kemungkinan besar tidak akan sedar lagi.
Kandungan Norimah juga dalam bahaya apabila dia dan Hafiz hampir dilanggar kereta yangmeluncur laju di depan mereka…