Jika pernikahan kali pertamanya berlangsung dalam kontroversi, kali ini, Fasha mahu memaknai penyatuan hatinya dengan Aidil Aziz dalam serba keindahan. Fasha Sandha berkongsi perasaan dengan media menjelang tarikh bahagia yang mana beliau akan menamatkan zaman jandanya.
“Kali ini saya merasai erti perkahwinan yang sebenar. Mungkin kali ini adalah kerana mendapat restu daripada kedua-dua pihak, rasanya lain,”
– Fasha Sandha
Pelakon jelita itu ditemui di majlis malam berinai yang khusus diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara kedua belah keluarga dan kenalan rapat di The Love @ Matic, Kuala Lumpur.
Dalam kegembiraan itu, Fasha juga meluahkan rasa sedih untuk meninggalkan gelaran janda atau ibu tunggal.
“Bagi saya, gelaran janda atau ibu tunggal melambangkan kekuatan seseorang wanita.
“Meskipun tidak ramai orang beranggapan baik dengan janda, Alhamdulillah saya telah menggalas tugas ibu tunggal ini dengan baik,”
– Fasha Sandha
Selepas beberapa tahun menganggotai ‘Independent Single Mother Club’ (ISMC), Fasha, 34, juga berkata, dia sudah bersedia untuk meninggalkan kawan-kawan dalam kelab yang sama antaranya, Amelina, Erra Fazira dan beberapa yang lain.
Bagaimanapun, apabila ditanya tarikh perkahwinannya, Fasha enggan memberitahu dan hanya menjelaskan, majlis itu bakal diadakan pada hujung minggu ini.
“Ikut perancangan hujung bulan ini (Mac). Bagaimanapun, kalau sudah benar akan jadi, baru saya akan kongsi kerana kita tidak tahu apa akan jadi tetapi perancangan memang hujung bulan ini,”
– Fasha Sandha
Sumber: Astro Awani