Uqasha Senrose atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, berkata, menerusi telefilem SAYA JUAL YE BANG, penonton dapat melihat perbezaan susuk tubuhnya yang mencecah 60 kilogram pada tahun lalu.
“Apa salahnya saya berikan sedikit kelainan terhadap watak yang dilakonkan dengan menambah berat badan? Peminat sering melihat saya dengan penampilan sama sahaja, jadi timbul idea untuk memberikan sesuatu yang berbeza bagi lakonan dalam telefilem itu.
“Saya bagaimanapun kembali menurunkan berat badan untuk naskhah berbeza. Dalam tempoh singkat, berat saya kini sudah mencecah 49 kilogram selepas mengamalkan pemakanan sihat. Cuma, saya tiada masa untuk bersenam.
“Saya bukannya mengamalkan diet keterlaluan, sebaliknya saya mengawal berat dengan tidak mengambil nasi dan minuman manis. Jika ada masa terluang, saya akan memperbanyakkan pergerakan di lokasi penggambaran sementara menunggu giliran memasuki set,”
– Uqasha Senrose
Uqasha Senrose berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai susuk tubuhnya yang menjadi perhatian apabila dilihat berbeza jika dibandingkan dengan penampilannya sebelum ini.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya seninya, Uqasha kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 28 episod, Setelah Terlafaznya Akad, yang turut membariskan Kamal Adli sebagai pelakon utama.
Selain itu, dia juga menjayakan sitkom Spanar Jaya X yang menemui penonton saluran TV3.
Diarahkan oleh Ahmad Idham, siri komedi yang diterbitkan kembali berdasarkan sitkom popular ciptaan Mamat Khalid itu turut dibintangi oleh Opie Zami, Douglas Lim, Ben Amir, Sangeeta Krishnasamy, Kalaiarasan Sivalingam, Jian Wen dan D’Boy Hamdan.
Sumber: Berita Harian