KATA pepatah, sombong tidak bertempat sesuai menggambarkan sekumpulan artis muda kekwat ini. SS hendak bercerita sikap lima artis baru berasakan diri mereka hebat. Bagi mereka, bergelar artis menjadikan mereka bersikap acuh tak acuh dengan orang lain bukan artis seperti mereka.
Sewaktu kedatangan mereka ke pejabat SS untuk satu fotografi baru-baru ini, mereka tidak pandai memperkenalkan diri dan lebih membuatkan SS geleng kepala apabila melihat sikap ditunjukkan kurang menghormati orang lebih tua. Ada seorang sukar melemparkan senyuman dan sukar bercakap seolah-olah bersuara emas. Ada pula gaya bercakap mengalahkan artis terkenal atau lebih popular. Lainlah kalau sudah banyak berlakon drama atau dikenali ramai.
Hendak dijadikan cerita, rakan sekerja SS pula terpaksa memperkenalkan diri dan bertanya siapa mereka, barulah hendak bercakap. Itupun sepatah ditanya, sepatah dijawab.
Kata rakan SS, paling tidak dapat dilupakan bahasa dan riak muka ketika temu ramah yang jelas kurang menyenangkan. Cara berbual sewaktu soalan diajukan masing-masing seperti menemuramah artis ternama.
Malah, ungkapan ‘you all, you all inilah bantu’ merujuk kepada wartawan jauh lebih tua berbanding usia setahun jagung mereka. Apakah begitu cara artis baru dan muda bercakap dengan orang lebih tua? Mengikut pengalaman SS, ramai sudah artis tempatan terkenal termasuk antarabangsa ditemuramah, merendah diri dan menghormati orang lain.
Dalam kata lebih positif, mereka sepatutnya dididik syarikat pengurusan bakat cara bercakap dengan bersopan. Jika tidak dengan SS yang mungkin mereka tidak kenal pun, sekurang-kurangnya tunjuk sedikit rasa hormat kepada orang lain yang lebih dulu makan garam. Apabila mahu menjadi artis, publisiti di media cukup penting kerana dari situ orang akan lihat kehadiran mereka. Kalau orang tidak kenal, siapa hendak ambil berlakon walaupun bakat tinggi melangit tapi kalau tidak popular, fikir dua tiga kali juga tawarkan berlakon.
Tapi kalau berat mulut dan perangai pula kurang mesra, macam mana orang hendak beri publisiti.