Menjadi impian ramai penyanyi terkenal tanah air untuk beraksi di Istana Budaya. Ia bukan saja satu pengiktirafan bahkan pencapaian membanggakan andai jadi kenyataan memandangkan hanya yang terbaik dapat beraksi di pentas berprestij itu.
Musim indah 2019 melakar satu lagi memori indah dalam kembara seni penyanyi bersuara emas, Dayang Nurfaizah apabila berpeluang mengadakan konsert solo buat julung kalinya di premis terkenal itu.
Terkejut dengan sambutan hangat diberikan, Dayang berkata, perkhabaran gembira berkenaan tentu sahaja menjadi pembakar semangat untuk dia menghadiahkan persembahan terbaik pada konsert solonya.
Tiket Laris Macam Goreng Pisang Panas Bukti Dayang Nurfaizah Disayangi Peminat
“Dayang sangat terkejut dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat. Tak sangka tiket konsert solo Dayang akan laris secepat ini walaupun jualannya dilancarkan pada pertengahan bulan. Selalunya, orang ramai akan membeli tiket konsert pada saat akhir.
“Apapun, sokongan diberikan itu boleh dianggap sebagai isyarat awal peminat yang sememangnya menantikan persembahan terbaik daripada Dayang,”
– Dayang Nurfaizah
Penyanyi Separuh Matiku Bercinta itu juga memohon maaf kepada peminat yang tidak sempat untuk mendapatkan tiket memandangkan tempat duduk di Panggung Sari adalah terhad.
“Dayang tahu, ramai peminat yang kecewa kerana tidak sempat nak beli tiket. Nak buat macam mana, tempatnya memang terhad. Doakan semoga Dayang diberikan peluang untuk mengadakan konsert lain selepas ini,”
– Dayang Nurfaizah
Konsert satu malam anjuran Shiraz Projects itu menawarkan sebanyak 1,400 tiket bermula pada harga RM125 hingga RM695 yang dijual menerusi myticket.asia, bermula jam 2 petang semalam.
Bakal berlangsung sehari selepas ulang tahun kelahirannya, konsert berskala mega berkenaan disifatkan penyanyi bersuara emas itu sebagai hadiah hari jadi paling bermakna buat dirinya.
Sumber: Berita Harian