in ,

Erti Pengorbanan Sebenar Dalam Empat Telemovie Khas Aidiladha

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… – (Al-Baqarah: 286)

Tahap ujian pengorbanan dalam diri seseorang itu nyata hadir berbeza-beza. Ada yang diuji dengan episod duka berpanjangan dalam hidupnya dan tak kurang juga yang berdepan ujian tidak seberat mana. Namun semuanya bergantung dan terpulang kepada individu tersebut untuk menangani masalah yang dihadapinya dengan cara yang bagaimana. 

Ujian itu umpama hadiah daripada Allah dan ia datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.

telemovie Begitu Janji Tertulis

Erti Pengorbanan Sebenar Dalam Empat Telemovie Khas Aidiladha di TV2

Menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya dalam sambutan Aidiladha yang disambut seluruh umat Islam pada 22 Ogos ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2tampil dengan tayangan empat telemovie khas bermula “Begitu Janji Tertulis”pada 21 Ogos ini, pukul 10.00 malam, “Dipulangkan Kasihnya”pada 22 Ogos ini, pukul 2.00 petang, “Ishihara”pada 23 Ogos ini, pukul 2.00 petang,dan diakhiri “Datangmu Kubenci Pergimu Kutangisi”pada 25 Ogos ini, pukul 10.00 malam. 

Menemui penonton malam raya, telemovie “Begitu Janji Tertulis” arahan Sabri Yunus dibintangi pelakon berpengalaman Khatijah Tan, Zamarul Hisham, Bohari Ibrahim, Putri Hanan dan Mohd Said Sabri mengangkat kisah ibu tunggal, Mak Jah mendapat tawaran mengerjakan haji bersama suaminya dari Lembaga Tabung Haji. Malangnya suami Mak Jah baru sahaja meninggal dunia dan sempat mewasiatkan agar salah seorang anak menemani Mak Jah ke Tanah Suci. Anaknya, Sahak sudah tiga tahun tidak pulang ke kampung akibat perselisihan dengan Mak Jah. Ayub pula menolak untuk menemani ibunya dengan alasan tidak bersedia walhal beliau sibuk berjudi di kampung serta berhajat menjual air ketum. 

Mak Jah tidak menaruh harapan dan semakin berputus asa tentang pemergiannya ke Mekah dengan mahramnya. Embun cuba menjejaki Sahak dan memujuknya untuk kembali menemui ibunya dan melupakan kisah silam. Adakah usahanya berjaya? 

babak lakonan Sharnaaz Ahmad dalam telemovie Datangmu Kubenci Pergimu Kutangisi

Seterusnya kisah pengorbanan seorang adik terhadap kakaknya dihidupkan dalam telemovie arahan Al Bakri Harith bertajuk “Dipulangkan Kasihnya”. Ia berkongsi kisah dua beradik, Julia dan Juwita yang terpisah sejak kecil. Julia dibesarkan di kampung oleh datuknya Hassan manakala Juwita tinggal bersama ibu angkatnya di bandar. Juwita hidup mewah, bebas dan kurang didikan agama, manakala Julia menjadi guru tadika, dan kuat berpegang kepada ajaran agama. Konflik kehidupan bermula apabila ibu angkat Juwita meninggal dunia, meninggalkan hutang dan Juwita tiada tempat bergantung. 

Kemudian Juwita diambil oleh datuknya Hassan untuk tinggal di kampung. Julia sangat gembira menerima kedatangan kakaknya, tetapi lain pula tanggapan Juwita. Juwita berasa tidak selesa tinggal di kampung dan kembali ke bandar menjalani hidup yang bebas dan liar. Julia berusaha mencari kakaknya di bandar untuk memujuknya pulang ke kampung. Juwita jatuh sakit dan Julia berkorban masa dan tenaganya menjaga Juwita. Telemovie ini menampilkan pelakon Uqasha Senrose, Elyka Azman, Shamsuri Shahrom dan Azam Pit. 

Gandingan pelakon utama Aril Pilus, Doria Rachel, Aleeza Shaadan, Shaharuddin Thamby dan Watie Sadali dalam sebuah telemovie terbitan Unit Drama TVdengan tajuk“Ishihara”turut menemui penonton saluran TV2. Perkongsian kisahnya tentang seorang lelaki yang rabun warna kronik, berkorban demi membiayai kos hospital kakaknya yang tinggi dengan meneruskan cita-cita kakaknya untuk menjadi seorang pereka fesyen sehingga dia masuk ke alam maya penuh berwarna sebuah gambar yang mengajar dirinya erti sebenar pengorbanan. 

Saksikan lakonan berkesan Sharnaaz Ahmad, Vanidah Imran, Liza Abdullah, Eyra Razali, dan Aedy Ashraf dalam telemovie“Datangmu Kubenci Pergimu Kutangisi”juga khas tayangan Aidiladha ini. Kisahnya berkembang dengan watak seorang pemuda yang tidak pernah hidup susah sejak lahir. Tetapi hanya dengan satu kemalangan telah mengubah keseluruhan hidupnya daripada seorang manusia yang jahil menjadi insan yang lebih baik.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Izara Aishah Berambut Biru Muda dalam Glam Wanita

Kisah Tanggang Moden, Aidiladha Ini Dalam Filem BAGHBAN