Anugerah yang mengiktiraf seni muzik di Amerika Syarikat itu diadakan di Staples Center, Los Angeles semalam. BTS melakukan tugasan menyampaikan anugerah untuk kategori Album R&B Terbaik yang dimenangi H.E.R.
BTS yang dianggotai V, J-Hope, RM, Jin, Jimin, Jungkook dan Suga cukup popular dengan Fake Love, Idol, DNA dan Blood, Sweat & Tears.
“Membesar di Korea Selatan, kami memang selalu mengimpikan untuk berada di atas pentas Anugerah Grammy. Terima kasih kepada semua peminat kami yang menjadikan impian kami ini realiti dan pastinya kami akan datang lagi ke sini,”
– RM
BTS atau nama penuhnya, Bantan Sonyeondan atau Beyond The Scene melonjak populariti sejak menceburi bidang seni sejak tiga tahun lalu.
Album terbaharu mereka, Love Yourself: Tear turut mencipta sejarah apabila bergelar album artis K-Pop pertama yang berjaya berada di kedudukan nombor satu dalam carta album Billboard.
Mereka turut bergelar selebriti K-Pop pertama yang diberi peluang mengadakan persembahan pada majlis Anugerah Muzik Amerika 2017.
Mempunyai peminat yang sangat ramai dari serata dunia, BTS setakat ini telah mengadakan lebih daripada 40 konsert jelajah di 19 buah bandar seluruh dunia pada tahun 2017.