in , ,

Sinopsis Drama Bersiri TAMAN DIVA Lakonan Elly Azman

Sebuah keluarga dari kampung menghadapi kejutan budaya apabila berpindah ke sebuah taman perumahan di bandar. Mereka berhadapan dengan gelagat jiran-jiran baru yang pelbagai ragam serta penuh dengan hasad dan dengki.

Berbagai insiden lucu berlaku apabila keluarga tersebut cuba menjadi keluarga contoh dan membantu jiran-jiran mereka yang mempunyai bermacam-macam masalah.

Realiti kisah masyarakat yang suka bergosip hingga mengabaikan keluarga sendiri ini pastinya mampu menyumbang pengajaran kepada semua. Kisah ini ‘dijelmakan’ dalam drama bersiri TAMAN DIVA lakonan Elly Azman, Amyza Aznan, Fahad Iman dan Elisya Sandha. 

watak utama dalam Taman Diva

Bila Jiran Berlagak Diva Dalam Drama Bersiri TAMAN DIVA di TV1 

Sebanyak 13 episod karya arahan Hashim Rejab ini menonjolkan sisi gelap dan padah diterima akibat sikap dengkikan orang lain juga ‘menjaga tepi kain orang’. Mengisi slot Bidadari di TV1 mulai 15 Januari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 3.05 petang, kenali perwatakan keluarga Tipah yang berasal dari kampung baru berpindah ke Taman Diva di bandar.

Kedatangan Tipah sekeluarga di taman itu menjadi perhatian Odah, tukang gosip di situ bersama kawan baiknya Anom. Seharian Odah dan Anom berjalan keliling taman mencari bahan gosip sehingga mengabaikan hal rumah tangga sendiri. 

Harun, suami Odah setiap hari terpaksa makan nasi berlaukkan telur goreng. Anom pula meninggalkan rumah dalam keadaan bersepah kerana mengikuti Odah hingga anaknya, Hairi dan Hisham terabai. Hairi yang berpewatakan ‘lembut’ seringkali dimarahi ibunya hinggakan minatnya terus ditentang keras oleh ibunya.

Masa berlalu anak sulung Tipah, Zul bertemu tanpa sengaja dengan Zakiah, anak Odah dan mereka jatuh cinta. Namun keduanya tidak berteus-terang sehinggalah kemunculan Shasa yang membuatkan Zakiah cemburu. Zakiah memarahi adiknya, Dalina kerana tidak belajar namun sebaliknya dibalas sinis oleh Dalina yang berteus-terang dia mahu menjadi artis.

Lokman, Tipah dan anak-anak mereka pergi sembahyang berjemaah di surau dan mendapati selama ini hanya Iman dan Bilal sahaja yang datang ke surau. Lokman memberitahu Imam yang dia hendak mengajak orang-orang taman untuk ke surau. 

Adik Zul, Imah pula bersahabat dengan Hairi yang belajar di sekolah yang sama dengannya. Tipah giat memuat naikkan resipi masakannya ke ‘Facebook’. Lokman pula berkenalan dengan Harun ketika pulang dari kerja. Anom sibuk mengendap Shasa yang keluar bersama seorang lelaki.

Harun menegur Odah kerana tidak menyiapkan sarapan untuk dia dan anak-anak. Anom dan Odah berjumpa dan terus bergosip tentang Shasa. Zakiah memasak di dapur dengan merujuk kepada ‘Facebook’ Tipah. Harun mengejutkan Odah yang sedang mengendap Shasa dan melarang Odah dari menjaga tepi kain orang. 

Tipah dan Imah mengedarkan kek cawan kepada semua jiran di perumahan mereka sambil mengajak mereka ke surau. Liza, emak kepada Shasa berpesan kepada Tipah supaya tidak menceritakan hal keluarga kepada Odah dan Anom untuk mengelakkan ianya dijadikan fitnah. Anom menghasilkan produk kosmetik jenamanya sendiri tetapi apabila ditunjukkan kepada Odah, terus Odah mengutuknya. Usaha Tipah dan keluarganya berhasil apabila ramai yang datang ke surau dan memuji usaha mereka.

Odah datang ke rumah Tipah dan memaksa Tipah menerima dia sebagai kawan di ‘Facebook’ Tipah. Tipah mendapati Odah menulis komen yang pedas di ‘Facebook’nya. Anom menyalahkan Odah kerana komen tersebut mengakibatkan Tipah tidak menghantar makanan kepada mereka lagi. Odah dan Anom ke rumah Tipah. 

Pada mulanya Tipah menyorok tetapi selepas timbul keberanian di hatinya, dia keluar dan mengajak mereka berdua masuk. Odah mula membuka gosip tentang Shasa tetapi Tipah berjaya menepisnya dan mengajak mereka ke surau sehingga Odah bosan dan mengajak Anom pulang. Selepas tuisyen Imah tidak mendapat teksi untuk pulang. Tipah meminta tolong kepada Harun kerana Lokman dan Zul pulang ke kampung lalu Harun pergi mengambil Imah.

Tipah terserempak dengan Liza mengingatkan Tipah supaya tidak terlalu baik dengan Odah dan Anom. Odah datang dan terdengar perbualan antara Liza dan Tipah lalu terjadi pergaduhan antara Odah dan Liza tetapi Tipah berjaya meleraikan mereka berdua. Anom dan Odah ke rumah Tipah dan mengajak Tipah keluar berjalan-jalan ke Kuala Lumpur bersama mereka. Tipah akan mempertimbangkan ajakan mereka sekiranya mereka berdua datang sembahyang berjemaah di surau.

Zul dan Zakiah mula rapat semula walaupun Odah tidak suka hubungan mereka. Odah dan Anom mengajak Tipah keluar membeli-belah di Kuala Lumpur dan Tipah mengikuti mereka berdua setelah puas dipujuk oleh mereka. Harun meluahkan kekecewaannya kepada Lokman kerana dia terpaksa makan di luar sepanjang hari kerana Odah tidak memasak di rumah.

Lokman menasihati Tipah supaya tidak bercampur sangat dengan dua orang diva di taman mereka dan ikut mengumpat orang. Tipah akhirnya mengetahui sikap jahat Odah dan Anom yang tidak ikhlas berkawan dengannya. Sementara itu berlaku kejadian membuatkan Anom sakit. Odah mula menjauhkan diri daripada melawatnya. Ketika itu baru Anom sedar siapakah sahabat yang sebenar bila Tipah mengambil berat kesihatannya.

Odah akhirnya sudi menerima Zul sebagai menantu namun meletakkan hantaran yang tinggi. Keluarga Zul pula berkeras mahu meletakkan 10 ribu sebagai hantaran. Lalu apakah kesudahan masalah kejiranan ini? Mampukah tiga wanita ini kembali berdamai dan berkawan semula?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jenayah Tanpa Keganasan Dalam Siri Inggeris RANSOM

AirAsia teruskan kerjasama dengan UFC®