Lebih gempar lagi apabila Faizal sendiri sanggup terbang ke negara matahari terbit itu untuk bertemu dan menjemput pemuda yang bernama Takaaki Terry itu datang ke Malaysia. Ternyata pertemuan itu dimanfaatkan sepenuhnya apabila kini Takaaki Terry diberi kesempatan mengembangkan bakatnya di Malaysia menerusi single sulungnya berjudul ‘Konnichiwa Dunia’.
Takaaki juga mencipta sejarah apabila menjadi artis Jepun pertama yang dilamar oleh Faizal Tahir dan kini bernaung dibawah Faithful Music.
‘Konnichiwa Dunia’ adalah sebuah karya ciptaan Takaaki sendiri manakala liriknya pula diolah bersama oleh Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo dan Adib Hussin.
Dengan hanya belajar dari menyanyikan lagu-lagu melayu, penyanyi yang berasal daripada Osaka, Jepun ini kedengaran selesa menyanyikan ‘Konnichiwa Dunia’ dalam Bahasa Melayu dengan sebutan yang sangat fasih.
Lagu yang diberi gubahan segar dengan pengaruh muzik J-Pop/J-Rock ini dijangka menawarkan sajian telinga yang berbeza buat pendengar dan bakal memeriahkan lagi arena muzik Malaysia.
‘Konnichiwa Dunia’ merupakan single terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Single ‘Konnichiwa Dunia’ boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox , Deezer dan juga iTunes bermula 11 JANUARI 2019.