in ,

Ummi Nazeera Kini Jadi Hos Program SANDING

Kenali secara lebih dekat adat-adat perkahwinan dan persandingan dalam budaya Melayu di Malaysia menerusi program terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk SANDING mulai 5 Januari,setiap Sabtu, pukul 2.30 petang di TV Okey (Astro 109).

Mengetengahkan pelakon terkenal Ummi Nazeera sebagai hos program, 13 episod siri ini membawa tontonanmenjelajah ke beberapa buah negeri di Malaysia bertujuan mengenali secara lebih dekat mengenai adat-adat perkahwinan dan persandingan tradisional dari negeri-negeri yang dikunjungi beliau. Menariknya fokus diberikan kepada penampilan pakaian pengantin dan aksesorinya ketika persiapan sebelum berada di singgahsana persandingan.

Ummi Nazeera Kini Jadi Hos Program SANDING
Ummi Nazeera yang cantik ayu dipilih untuk program SANDING.

Selain itu ia juga memaparkan evolusi pakaian pengantin dan persiapan majlis perkahwinan dan persandingan ke arah yang lebih moden sesuai dengan keadaan semasa. 

Ummi Nazeera Hos Program SANDING di TV Okey (Astro 109)

Program ini dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu amalan dan adat-adat tradisi, konsep dan idea-idea baru, tip-tip perkahwinan dan tema sesuatu majlis persandingan. Sebagai perbandingan dipaparkan juga adat-adat perkahwinan dalam masyarakat India di Malaysia.

Pertama kalinya memperkatakan keunikan budaya dan adat perkahwinan tradisi Melayu dan perubahan budayanya mengikut perubahan persekitaran.

Segmen tradisi menyusuri kepentingan kompang dan silat sebagai acara wajib dalam budaya Melayu ketika majlis-majlis perkahwinan. Sebagai warisan budaya ia sering kali diberi penghormatan memeriahkan suasana. Segmen idea memaparkan cara membuat kek perkahwinan, reka bentuk dan bahan-bahan perlu disesuaikan dengan tema perkahwinan.

Hos mengundang Ustaz Hizbur Rahman, pendakwah bebas memberi tip dan memperkatakan mengenai tuntutan perkahwinan menurut ajaran Islam.

Ummi Nazeera Kini Jadi Hos Program SANDING

Episod berikutnya hos membicarakan mengenai kepentingan dan keistimewaan ‘pulut kuning’ dalam menghiasi majlis perkahwinan masyarakat Melayu. Tradisi ini dikupas dengan panjang lebar oleh Dr. Mohammad Nazzri Ahmad, Pensyarah Jabatan Sosio-Budaya dan Kesenian Melayu, Universiti Malaya.

Hos bersama tetamu membuat demontrasi mengukus dan menghias pulut kuning dengan berbagai corak hiasan. Di dalam segmen Idea pula membicarakan mengenai ‘bunga tangan’.

Segmen Tips pula membicarakan tajuk tanggungjawab seorang isteri bersama dengan Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie. Turut diselitkan perkongsian majlis perkahwinan berkonsepkan fantasi.

Ketahui perkongsian tentang adat perkahwinan di Sabah dan Sarawak dalam episod seterusnya yang mengetengkan majlis meraikan perkahwinan pasangan pengantin daripada suku kaum Brunei di Sabah yang dilangsungkan dengan penuh adat istiadat suku kaum tersebut.

Segmen Idea pula memaparkan reka bentuk kad kahwin yang mempunyai pelbagai bentuk dan corak juga mementingkan maklumat lengkap yang tertera dan tidak mengelirukan tetamu undangan. Turut dibincangkan mengenai tip mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan. 

Tidak lengkap perkahwinan tanpa kehadiran Mak Andam. Episod enam mengupas mengenai peranan Mak Andam dalam majlis perkahwinan, perbezaan dulu dan sekarang. Seorang Mak Andam berkongsi ilmu dan pengalamannya berkecimpung dalam bidang ini selama 23 tahun.

Beliau berpendapat peranan Mak Andam ini masih releven pada masa ini dengan syarat mereka perlu bersaing dengan generasi muda dengan melengkapkan diri menambah ilmu mengikut keadaan semasa.

Segmen Idea pula berkongsi pandangan mengenai penyediaan Candy Buffet atau Sudut Manisan kepada kanak-kanak yang hadir bersama keluarga ke majlis perkahwinan. Bersama dengan Ustaz Hizbur Rahman memperkatakan mengenai belanja hantaran.

Majlis persandingan episod ini berkonsepkan Inggeris. Ia memaparkan keindahan baju pengantin yang berkonsepkan Inggeris dengan sulaman elemen Melayu. Majlis ini juga disulami dengan pelbagai elemen muzikal melalui koir, kumpulan muzik dan buskers.

Indahnya bila berbicara mengenai songket dalam majlis persandingan Melayu. Asalnya songket adalah pakaian istiadat kepada Rajaraja Melayu dan banyak digunakan di Terengganu dan Kelantan di Malaysia serta Palembang, Indonesia.

Seterusnya memperkatakan mengenai peranan ‘bunga telur’ dalam adat perkahwinan Melayu. Namun kini buah tangan ‘bunga telur’ ditukar kepada bentuk cenderamata yang lebih ringkas. Justeru bagi meneruskan tradisi memberikan bunga telur telah diberi suntikan lebih berinovasi. Dengan cara ini ia telah menambat hati pelanggan.

Tidak dinafikan dalam sesetangah majlis masih mengekalkan adat dan tradisi mandi bunga dalam majlis perkahwinan tradisi Melayu, tujuan dan perbezaannya di zaman dahulu dan sekarang. Turut dikongsikan demonstrasi mandi bunga di sebuah SPA.

Seorang jurugambar memberi tips supaya setiap pengantin memilih lokasi dan pakaian yang bersesuaian sebelum mengambil gambar. Hos bersama Ustaz Hizbur Rahman, menasihatkan kepada bakal suami atau isteri supaya membuat persiapan mental dan fizikal sebelum memasuki alam perkahwinan.

Perkara yang disentuh antaranya melilih bakal pasangan berpadukan kepada pesanan Rasulullah, berakhlak mulia, berilmu, mempunyai sumber pendapatan, sentiasa bersabar dan membuat keputusan secara bijaksana. 

Perkara yang disentuh antaranya melilih bakal pasangan berpadukan kepada pesanan Rasulullah, berakhlak mulia, berilmu, mempunyai sumber pendapatan, sentiasa bersabar dan membuat keputusan secara bijaksana. 

Ikuti juga kupasan mengenai majlis persandingan masyarakat India yang mengamalkan adat merisik dan meminang. Sungguh pun begitu adat-adat yang diamalkan ini ada kalanya berbeza mengikut dari mana mereka berasal. Seorang pelukis inai mengatakan dalam melakar corak inai, bakal pengantin sendiri yang akan membuat pilihan sama ada bercorak tradisional atau kontemporari. Turut dirakamkan detik bersejarah pasangan melalui sudut gambar atau photo booth. 

Sementara itu bagi bakal pengantin yang bercadang berkahwin di luar negara dinasihatkan supaya membuat persiapan rapi dengan pihak kedutaan yang berkenaan dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mengelak sebarang masalah. Majlis persandingan pada kali ini memaparkan perkahwinan masyarakat India. Pasangan pengantin mengenakan pakaian busana tradisi masyarakat India, diikuti dengan majlis sembahyang, menghormati dan mendapat restu orang tua, mantera dan upacara memakai thali dengan iringan muzik melam. Majlis berlangsung meriah dengan hidangan nasi beralaskan daun pisang.

Ummi Nazeera Kini Jadi Hos Program SANDING

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bersiri DETAK CINTA STATESKOP Lakonan Amar Baharin

Takaaki Terry Menjadi Artis Jepun Pertama Dilamar Faizal Tahir