Dua tahun lalu Alif Satar berdiri di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai salah seorang finalis, dan tahun lepas (2018), Alif sudah punya chemistry bersama Sherry, jadi tak salah kalau mereka digandingkan sekali lagi tahun ini, kan? Tambahan pula, Alif dan Sherry sudah banyak kali digandingkan untuk mengendalikan program realiti TV. Mereka dah betul-betul ‘ngam’. Cara bekerja dan pemikiran yang sama merupakan faktor utama gandingan ini menjadi dan secocok bergandingan sebagai pengacara.
Menurut Alif, diberi tanggungjawab mengendalikan sebuah acara yang gah dan besar merupakan satu bebanan. Namun, Alif sangat bersyukur dan gembira diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan anugerah yang paling berprestij di Malaysia.
“Satu benda yang bersejarah untuk diri Alif sendiri tetapi ia satu tugas yang mencabar kerana kalau kita menyanyi kita cuma fokus satu lagu sahaja dan menyanyi sangat mudah untuk saya.
Tetapi untuk mengacara kita perlu fokus, secara asasnya dalam kepala saya ada 12 lagu untuk diingati dan ramai perserta yang perlu saya ingat pada masa yang sama.
Tetapi saya bersyukur kerana saya ada gandingan yang bagus dalam masa yang sama. Saya tahu kami akan menolong satu sama lain bila berada di atas pentas AJL nanti,”
– Alif Satar
Rata-rata berpendapat gandingan Sherry Alhadad dan Alif Satar tidak pernah mengecewakan penonton dengan gelagat mereka yang bersahaja.
Sementara itu bagi Sherry Al Hadad yang pernah mengacara program terbitan TV3 iaitu Muzik Muzik pula, peluang untuk mengacarakan anugerah besar sebegini dilihat mampu untuk menyerlahkan lagi kredibilitinya sebagai pengacara tanah air.
“Saya bersyukur dan gembira kerana terpilih untuk menjadi pengacara AJL32 bersama Alif. Banyak kejutan yang akan kami lakukan pada malam itu nanti,”
– Sherry Alhadad
Malam AJL33 akan dimeriahkan dengan persembahan dari kumpulan Search, artis genre hip hop Malaysia dan penyanyi BBNU iaitu Sarah Suhairi, Ismail Izzani dan Nabila Razali.
AJL33 ditaja oleh SAMSUNG GALAXY A9 dan KFC. Persembahan terbaik akan menerima hadiah daripada Samsung. AJL 33 bakal menyaksikan 12 lagu terbaik bakal berentap bagi merebut gelaran juara lagu.
Anugerah Juara Lagu ke-33 akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari 2019 (Ahad) jam 9 malam.