KEMBALI MENGHANGATKAN MALAM AHAD ANDA!
Misteri dan Teka-Teki Kewujudan Adiwira Muda, Superman,
Bakal Terjawab di dalam Musim ke-7
Pejam celik, siapa sangka siri drama kegemaran ramai, Smallville kini telahpun masuk ke musim yang ke-7 dan terus menjadi ikutan jutaan para peminat setianya di seluruh dunia. Kembali dengan lebih drama dan aksi yang mendebarkan, jangan lupa saksikan kesinambungan kepada interpritasi semula mitologi Superman untuk sama-sama mengetahui tentang rahsia dan misteri di sebalik kewujudan dan takdir adiwira muda kita di TV3, setiap Ahad, jam 10malam mulai 11 Julai, 2010.
Dengan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Tom Welling, Kristin Kreuk, Michael Rosenbaum, Erica Durance, Allison Mack, John Glover, Aaron Ashmore dan Laura Vandervoort, musim ke-7 juga menampilkan watak-watak klasik yang pernah dikenali melalui komik Superman dicampur dengan adegan dan pengembaraan kepada siri aksi yang pastinya menyeronokkan.
Musim ini, Clark Kent (Welling) yang sering dibayangi kemelut beban dan tanggungjawab menyelamatkan dunia terpaksa meneruskan kehidupan senormal yang mungkin dengan identiti rahsia. Bukan sahaja Clark perlu berdepan dengan musuh yang lebih kuat dan merbahaya seperti Bizarro yang mempunyai kelebihan kuasa hebat seperti Superman malah hampir setiap halangan yang dihadapi memerlukan pengorbanan besar daripada Clark. Dalam keadaan dilema dan tertekan, Clark ditemukan dengan sepupunya, Kara (Vandervoort) yang berkongsi sama asal-usul dan ciri-ciri luar biasa Planet Kypton.
Sementara itu, rakan-rakan rapat Clark juga berdepan dengan isu dan masalah masing-masing di dalam situasi yang berlainan. Sekembalinya Lana (Kreuk) ke pekan Smallville dari Shanghai setelah berita mengenai kematiannya yang dipalsukan berjaya dibongkarkan, beliau terpaksa mengharungi tempoh yang sukar apabila perlu berusaha keras untuk kembali memenangi kepercayaan daripada teman baiknya, Clark dan Chloe (Mack) yang kecewa akibat ditipu mengenai tragedi kemalangan yang menimpa dirinya. Tiada pilihan lain, Lana juga perlu menyelesaikan pertelingkahan serius dengan suaminya, Lex (Rosenbaum) yang semakin hari semakin renggang menyebabkan perkahwinan yang baru dibina umpama retak menanti belah.
Walaupun sukar, Lana akhirnya bercerai dengan Lex dan terus menumpukan masa dan tenaga dengan menubuhkan yayasan amal yang bertindak menjaga kebajikan mangsa-mangsa yang menderita akibat kesan radiologi dan batu meteor walaupun tidak menyedari bahawa teman baiknya sendiri, Chloe merupakan salah seorang daripada yang terbabit. Keliru dan tertekan dengan perubahan pelik pada dirinya, Chloe yang kini merupakan salah seorang wartawan penting di Daily Planet berkeras untuk berdiam diri dan sanggup menanggung sendiri risiko dan bebanan yang menimpa akibat impak terkena jangkitan batu meteor.
Persahabatan Clark dan Lex telah musnah sepenuhnya, dan kini mereka bermusuhan memaksa Clark berusaha keras untuk melindungi rahsia Kara dan dirinya. Walaupun berhadapan dengan kenyataan yang Lex pernah merampas Lana darinya, Clark juga nampak bahaya yang dibawa oleh Lex dan berazam untuk menghentikannya. Lex yang masih kecewa setelah diceraikan Lana, terus menyimpan dendam terhadap Clark apabila kedua bekas kekasih itu kembali menjalin perhubungan semula.
Lex meneruskan penyiasatannya untuk merungkai misteri The Traveler, yang didakwa mempunyai kuasa untuk menyelamatkan bumi ataupun mampu untuk memusnahkannya sekaligus. Nekad dalam obsesinya untuk mencari The Traveler, Lex sanggup menggunakan pelbagai cara dan kekerasan di samping mengambil-alih pengurusan The Daily Planet demi menyempurnakan misinya. Malah, kemarahan Lex seolah-olah tidak dapat dibendung lagi apabila mendapat tahu bapanya sendiri, Lionel (Glover) telah bertindak untuk membantu Clark dalam usaha untuk mematahkan niat dan misinya yang dianggap serong dan salah. Di saat genting, Clark terpaksa berhempas-pulas untuk menewaskan musuh ketat, Brainiac yang telah memberitahu Lex bahawa Clark adalah The Traveler, orang yang dicari-carinya selama ini.
Kemuncak musim ke-7 pastinya menampilkan perhitungan yang dinanti-nantikan oleh adiwira dan antagonis utama Smallville di Fortress of Solitude, lokasi bersejarah tempat pertarungan di antara kuasa baik dan jahat. Dapatkah Lex menewaskan Clark dan sekaligus merampas kuasa mutlak dan menjadi orang yang paling berpengaruh di dunia seperti yang diidam-idamkan selama ini? Mampukah Clark untuk bertahan dan menghentikan niat jahat Lex daripada menguasai dunia?
Dengan memaparkan babak-babak yang realistik dan kesan khas yang canggih, Smallville merupakan penghasilan semula Superman berkisarkan dari akar umbinya. Siri ini dibawa ke kaca televisyen oleh Alfred Gough & Miles Millar yang pernah menerbitkan “Herbie Fully Loaded,” “Shanghai Noon” dan “Spider-Man 2” berdasarkan watak dari DC Comics. Antara penerbit eksekutifnya termasuklah Gough & Millar, Mike Tollin, Brian Robbins, Joe Davola yang pernah menerbitkan “One Tree Hill,” “The Bronx Is Burning,” “Norbit,” dan “Wild Hogs” dan Ken Horton yang pernah menerbitkan “The X-Files” dan “Millennium”.
Kepada semua peminat-peminat siri ini, nantikan kemunculan Clark dan rakan-rakannya dalam “Smallville” musim ke-7, setiap Ahad, bermula 11 Julai, jam 10.00 malam, dan pada waktu tetap jam 9.30malam mulai minggu berikutnya eksklusif hanya di TV3.