Sempena Festival KL yang diadakan sebulan bermula 1 hingga 31 Julai ini, Konsert Alam akan diadakan di Zoo Negara pada jam 10 pagi hingga 3 petang.
Mengutarakan nilai-nilai murni tentang kepentingan menjaga alam dan haiwan, konsert ini akan mempersembahkan muzik berorientasikan alam semulajadi selain cuba mendidik masyarakat untuk mencintai khazanah alam terutama haiwan yang masih wujud sebelum ia terus pupus dari muka bumi. Para artis dan orang ramai turut diajak untuk menjalankan kerja-kerja amal membersih kandang harimau dan haiwan-haiwan lain.
Selain menampilkan artis utama Zainal Abidin, konsert ini turut menampilkan Amanda Imani, Iz (OIAM), band-band indie seperti After Days, Indie Mice, Keladak dan Blizz, Temjin Band, Kumpulan Muzik Asli Gentarasa, Kumpulan Muzik Orang Asli Babola Gombak, Sabihah Wahid, Azmira, Azizul, Lakhsman dan Felicia Phua.
Tiket masuk RM20 (dewasa) dan RM6 (kanak-kanak). Maklumat lanjut, hubungi 03-41083422 atau layari www.klfestival.org.my, www.zoonegara.org.my
KONSERT ALAM dipersembahkan sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2010 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Zoo Negara.