Filem: Despicable Me
Genre: Animasi, Komedi, Keluarga, Aksi
Pengarah: Pierre Coffin, Chris Renaud
Pelakon (suara): Steve Carell, Russell Brand, Jason Segel, Miranda Cosgrove, Kristen Wiig, Julie Andrews, Elsie Fisher, Dana Gaier, Will Arnett
Tayangan: Mulai 8 Julai 2010
Sebuah lagi filem animasi berkomputer dalam bentuk 3D telah Budiey tonton minggu lalu. Judulnya Despicable Me terbitan Universal Pictures. Kalau dalam merujuk kamus, despicable – morally reprehensible. Filem ini ada lawak yang ringan tapi aksinya kadang-kadang ada yang keterlaluan. Budiey perhatikan sekarang ni dah banyak filem dari luar telah menghasilkan animasi dalam bentuk 3D. Semestinya 3D dah ‘in’ dalam pasaran filem kerana lambakan TV LED 3D di pasaran dan permintaan juga telah meningkat.
Kali terakhir menonton animasi 3D adalah pada 2 minggu lalu ketika Toy Story 3 menyerang Malaysia. Sebelum tu, ada Shrek Forever After, juga dalam bentuk 3D. Ternyata, filem animasi 3D lebih diminati oleh semua golongan kerana mutu gambarnya yang terang dan penuh dengan warna yang lebih hidup.
Menyentuh tentang filem Despicable Me yang akan ditayangkan mulai 8 Julai 2010 ini, ianya menceritakan tentang kisah seorang eorang lelaki yang bercita-cita menjadi penjenayah paling hebat di dunia.
Kisah bermula di sebuah kawasan kejiranan yang tampak aman, apabila seorang lelaki, Gru (Steve Carell) dalam diam-diam mengadakan rancangan untuk mencuri bulan, bagi meletakkan dirinya dalam sejarah sebagai penjahat teragung di planet bumi. Semua rancangan itu disusun dan digerakkan di dalam makmal canggihnya di bawah tanah.
Ketika yang sama, Gru terpaksa berdepan dengan saingan lebih muda, Vector (Jason Segel), yang turut memasang impian menjadi penjahat terhebat.
Bagi menjayakan cita-citanya, Gru mengambil tiga kanak-kanak yatim, Margo (Miranda Consgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher), sebagai anak angkat. Sedikit pun dia tidak menyangka, niat busuknya menggunakan kanak-kanak terbabit mula bertukar menjadi pengalaman yang tidak mungkin dapat dibeli sampai bila-bila.
Pada saat dia berusaha menjayakan rancangan mencuri bulan, detik itu juga kasih-sayang terhadap kanak-kanak terbabit semakin dirasa. Namun, pembantunya berasakan kehadiran kanak-kanak terbabit hanya membantut impian Gru untuk muncul sebagai penjahat paling disegani penduduk bumi.
Stail watak Gru pada mulanya sangat jahat namun penonton akan merasai sendiri perubahan pada watak ini sehinggalah ke penghujung jalan cerita. Watak 3 orang kanak-kanak yatim itu pula sangat cute komedinya. Sangat imaginatif dan skripnya juga sangat genius dan bijak. Namun, ada beberapa komedi begitu slapstik.
Dari segi keseronokan 3D, scene yang paling best adalah semasa 3 orang kanak-kanak dan Gru menaiki roller coaster. Memang mengujakan semua penonton apabila terikut-ikut untuk merasai seriau menaikinya.
Gaya penyampaian filem ini begitu lancar dan keseluruhannya menghiburkan. Hiburan lawak yang ringan yang ditampilkan ternyata akan menarik kanak-kanak mengenali karakter filem ini dengan lebih dekat. Budiey suka dengan watak 3 orang kanak-kanak dan juga robot-robot ciptaan Gru.
Dari segi mesej, filem ini dikatakan terlalu sinis menyindir beberapa pihak tertentu. Oleh kerana gaya karakter serta aksi melampau, filem ini sebenarnya ditujukan kepada golongan muda.
Budiey tersentuh juga menonton beberapa babak dalam filem ini yang menyerap nilai-nilai kebapaan. Kasih sayang seorang bapa yang sebenarnya ada dalam diri Gru terpancar jelas pada gaya drama yang menyakinkan. Tahniah kepada dua orang penulis filem ini iaitu Ken Daurio dan Cinco Paul.
Pada dasarnya watak Gru yang keji dengan sifatnya yang suka merosakkan dunia rupanya terselit satu perasaaan mulia dan Gru begitu sayang kepada 3 orang kanak-kanak yang diambilnya sebagai anak angkat.
Tahniah juga buat Steve Carell yang membawa watak Gru yang menggunakan loghat pertuturan asing yang sangat menggelikan hati. Budiey tertarik juga dengan animasi filem ini yang unik dan sangat cute. Penggunaan warna cerah dan lembut sekata begitu mencantikkan lagi paparan.
Budiey ingin memberikan 3/5 bintang untuk filem ini.