in ,

Usahasama Warner Music & Alif Martabat URBAN MUSIC

Warner Music Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran label tempatan terbaru, Black Hat Cat yang bakal diterajui oleh rapper dan penerbit terkenal, Alif. Black Hat Cat merupakan usaha Warner Music Malaysia dan Alif dalam memartabatkan genre ‘Urban Music’ dalam industri muzik Malaysia.

Black Hat Cat ditubuhkan bagi memberi sepenuh tumpuan kepada penghasilan karya tempatan yang berkonsepkan ‘Urban Music’ seperti ‘Electronic Dance Music (EDM)’, ‘Hip Hop’, ‘Jazz’, ‘R&B’, ‘Soul’, ‘Reggae’ atau gabungan irama atau gaya muzik seumpamanya.

Usahasama Warner Music Dan Alif Martabat Urban Music Menerusi Black Hat Cat

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy menjelaskan bahawa idea penubuhan Black Hat Cat bermula dari aspirasi pihak Warner Music Malaysia untuk meneroka ke dalam pasaran ‘Urban Music’ di Malaysia. “Dalam arus muzik semasa Malaysia, genre ini masih belum berkembang sepenuhnya. Contohnya, beberapa tahun kebelakangan ini kita melihat EDM menjadi aliran muzik yang berkembang pesat ke seluruh dunia.

Walaupun muzik ini pada asalnya tidak mensasarkan pendengar muzik arus semasa, namun pendengar muzik tempatan dapat menerima muzik jenis ini. Kami merasakan inilah peluang terbaik untuk memberi fokus kepada genre ‘Urban Music’ ini dan menawarkan halwa telinga yang berbeza untuk pendengar muzik tempatan,”jelasnya lagi.

Alif, memulakan karier seninya sebagai salah seorang anggota kumpulan duo popular, Sleeq. Semenjak mencipta nama di arena muzik tempatan, penerbit dan rapper kelahiran Singapura ini telah banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi-penyanyi terkenal negara termasuk Kaka Azraff, Zizan Razak, De Fam, Joe Flizzow, Adira dan ramai lagi.

Antara lagu-lagu hits yang mendapat sentuhannya adalah Untuk Dia (Sleeq dan Najwa Latif), Salam Semua (Sleeq dan Aaron Aziz), Tepi Sikit (Sleeq dan Joe Flizzow), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Sleeq), Satu Hari Nanti (Najwa Latif) dan yang terbaru hangat menjadi siulan ramai adalah single terbaru Kaka Azraff yang berjudul Sibuk.

Melihatkan kepada katalog muzik dan portfolio Alif, jadi tidak hairanlah apabila Alif menjadi pilihan untuk menggalas tugas sebagai teraju utama Black Hat Cat. Mengulas tentang pemilihan Alif, Darren berkata,

“Semestinya label yang mengangkat genre ‘Urban Music’, ianya perlu diterajui oleh penerbit yang relevan dengan genre ini. Orang pertama yang terlintas difikiran saya adalah Alif. Alif sememangnya layak untuk menggalas tugas ini berdasarkan kualiti karya hasil terbitannya sebelum ini. Alif bukan sahaja mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kerja-kerja terbitan untuk genre seumpama ini. Malah, Alif mempunyai keupayaan memahami citarasa muzik generasi kini sehinggakan karyanya mempunyai nilai estetika tersendiri yang boleh dinikmati oleh khalayak ramai, bukan setakat peminat genre ini sahaja”.

Menurut Darren, antara tanggungjawab yang bakal digalas oleh Alif, bukan sahaja untuk menerbitkan karya-karya ‘Urban Music’ malah Alif diberi peranan yang besar dalam menentukan hala tuju Black Hat Cat termasuk mencari dan membangunkan bakat dari rantau ini sama ada yang baru atau yang sedia ada untuk dibawa ke pentas global. Menerusi Black Hat Cat, visi Warner Music untuk meningkatkan lagi potensi genre ‘Urban Music’ di rantau ini agar setanding dengan perkembangan genre yang sama di peringkat global dapat direalisasikan.

Mengulas tentang kerjasama strategik ini, Calvin Wong, Presiden Warner Music South East Asia, Hong Kong dan Korea merangkap Naib Presiden Eksekutif Pemasaran, Warner Music Asia berkata,

“Kami benar-benar teruja dengan kerjasama bersama Alif, beliau merupakan salah satu penerbit yang paling inovatif di rantau ini. Black Hat Cat bakal meneruskan lagi usaha Warner Music dalam mendorong perkembangan genre muzik R&B dan Hip Hop di rantau ini, sebagaimana yang telah kami lakukan di Hong Kong dengan F Record. Kami berharap Black Hat Cat bakal menjadi rumah kepada semua pemuzik baru yang mempunyai aspirasi untuk memartabatkan genre muzik ini dan seterusnya menjadi titik tolak untuk mereka mengecapi kejayaan di negara sendiri dan di seluruh rantau ini”.

Penggunaan nama ‘Black Hat Cat’ sebagai jenama label muzik ini ternyata ada maksud disebaliknya. Menurut Alif ianya bukan hanya sekadar nama, ‘Black Hat Cat’ merupakan watak atau persona yang melambangkan kebolehsesuaian label muzik ini dalam menongkah evolusi muzik tanpa henti. “Muzik sentiasa berevolusi, namun persona ‘Black Hat Cat’ ini kekal relevan dalam mana-mana era muzik sekali pun”.

“Black Hat Cat tercetus kerana kami mahu menolak sempadan kreativiti dalam industri muzik tempatan dan luar negara dengan menghasilkan karya menggunakan pendekatan yang berbeza, idea segar dan mempunyai nilai estetika tersendiri. Sekiranya kita bijak berinovasi dalam berkarya, muzik tempatan sebenarnya mampu berjaya di peringkat global,” jelas Alif lagi yang menyimpan harapan agar Black Hat Cat berjaya menyediakan pelbagai jenis bakat kepada industri muzik serta menjadi batu loncatan untuk bakat tempatan mencipta nama di luar negara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nights Of Fright, Sunway Lagoon Kembali Menghantui Anda Untuk Tahun Ke 6

Celcom Syarikat Pertama Terima Persijilan ISO 18295-2:2017