in ,

Senarai Drama Menarik Akhir Tahun 2018 di TV3

JIKA MASIH ADA RINDU, PUJAAN HATI KANDA & PETUA NENEK

Tahun 2018 akan berakhir tidak lama lagi.. Bagi melengkapkan tahun 2018 anda, TV3 membawakan tiga drama bersiri menarik sebagai tontonan akhir tahun anda.

Bagi mereka yang merindui lakonan Kamal Adli dan Siti Saleha di TV3, mereka kini bakal muncul dalam drama terbaharu slot Samarinda, Jika Masih Ada Rindu mulai 19 Disember ini. Ikuti perjalanan Kamal Adli yang ingin kembali memikat hati Siti Saleha setelah dia kemalangan dan hilang ingatan.

Menerusi slot Akasia mulai 20 Disember nanti, ikuti pula kisah kasanova Remy Ishak dalam Pujaan Hati Kanda yang dibebani dengan kehadiran bayi misteri yang dikatakan anak kandungnya. Manakala Mira Filzah pula diupah oleh Remy untuk menjaga bayi tersebut dan tiba-tiba mereka jatuh cinta.

Sudah ada drama cinta dan konflik keluarga, apa kata hiburkan hati anda dengan menonton drama komedi Petua Nenek di slot Dahlia mulai 22 Disember. Macam-macam petua anda boleh pelajari dari Nek Embun lakonan Liza Abdullah bersama cucunya, Qaseh lakonan Adibah Yunus.

Menarik bukan? Jadi, Jangan ketinggalan untuk mengikuti ketiga-tiga drama ini nanti. Nantikan lebih banyak lagi drama menarik dan hanya yang terbaik akan menemui anda di tahun 2019 di TV3! Drama – drama ini turut boleh ditonton di portal video www.tonton.com.my dan youtube @TV3Malaysia.

Jika-Masih-Ada-Rindu-Final-01

KAMAL ADLI HILANG INGATAN?
Slot Samarinda, setiap Isnin hingga Rabu, 10 malam
Sudah lama rasanya tak nampak kelibat Kamal Adli di kaca televisyen. Katanya dia hilang ingatan, dan terkejarkan Siti Saleha pula. Jangan buat hal Kamal… Siti Saleha kan isteri orang? Nasib baik, Kamal hanya terkejarkan Siti Saleha di dalam drama terbaharu yang menggandingkan mereka berdua di slot Samarinda, Jika Masih Ada Rindu mulai 19 Disember ini. Kamal Adli bergandingan dengan dramatis hebat, Siti Saleha sebagai pasangan suami isteri.

Drama 14 episod ini arahan Feroz Kadir ini mengisahkan Hisyam yang kembali mengejar cinta bekas isterinya selepas kemalangan sebaik sahaja dia menceraikan isterinya Wahida. Hisham dan Wahida saling mencintai namun kesibukan Wahida dalam membesarkan anak mereka Qistina dan perlu menjaga ibunya yang sakit, telah menjarakkan hubungan mereka. Hisham mula curang dan berani naik tangan akhirnya mengakhiri perkahwinan mereka dengan penceraian.

Malang buat Hisham, sejurus selepas bercerai dia terlibat dengan kemalangan yang mengakibatkan dia hilang ingatan. Tersedar daripada koma, Hisham hanya mengingati peristiwa tiga tahun sebelum kemalangan itu. Memori Hisham kekal dengan ingatan bahawa dia bahagia bersama Wahida. Datin Embun, ibu Hisham meminta agar Wahida untuk berlakon di depan Hisham yang dia masih isteri Hisham dan tidak menyebut kisah perceraian mereka. Wahida menolak permintaan Datin Embun. Sudah tiada lagi rasa cinta di hatinya, apa yang tinggal hanyalah kebencian terhadap Hisham.

Apakah yang akan terjadi kepada Hisham jika mengetahui Wahida bukan lagi isterinya? Adakah Wahida akan kembali menerima Hisham? Saksikan kesudahannya di slot Samarinda, setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10.00 malam. Tetapi mulai 1 Januari 2019, Jika Masih Ada Rindu akan bersiaran dari hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam.
Pelakon: Kamal Adli, Siti Saleha, Fazlina Ahmad Daud, Ellyas Abdullah, Zarynn Min, Ezzaty Abdullah, Meor Mohd, Syafnida Shuhaimi, Ku Zara Eryna

Pujaan-Hati-Kanda-Poster-option-05

REMY ISHAK PUJA MIRA FILZAH
Slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, 7.00 malam
Remy Ishak kini tergila-gilakan Mira Filzah pula? Semuanya bermula apabila Remy Ishak perlu mencari pengasuh bagi menjaga bayi lelaki yang ditinggalkan di masjid ketika dia mahu bernikah. Kerana bayi misteri yang dikatakan anak kandungnya, tunangnya tidak mahu meneruskan pernikahan mereka. Sudahlah tak jadi kahwin, Remy pula perlu menjaga bayi tersebut sendirian kerana datuk dan neneknya tidak mahu campur tangan dan malu dengan perbuatannya. Nasib Remy baik, kerana Mira Filzah hadir pada waktu yang tepat! Mira Filzah bersetuju untuk menjadi pengasuh bayi tersebut memandangkan dia juga memerlukan duit.

Ironinya, semua ini adalah watak mereka berdua dalam drama terbaharu di slot Akasia mulai 20 Disember ini iaitu Pujaan Hati Kanda. Remy yang membawa watak Danny, bagai menerima pembalasan atas sikap kasanovanya dahulu apabila perlu bertanggungjawab menjaga seorang bayi secara tiba-tiba.

Danny terpaksa mencari pengasuh yang sudi menjaga Rizqi sementara dia menyiasat siapa sebenarnya ibu kepada Rizqi dan benarkah Rizqi anak kandungnya. Dalam kesulitan, Danny dipertemukan dengan Tiara (Mira Filzah), pelajar universiti yang kesempitan wang ringgit. Danny merahsiakan perkara sebenar mengenai identiti bayi itu. Tiara hanya mengetahui Danny adalah seorang duda yang kematian isteri.

Tanpa diduga, cinta mula berputik antara Danny dan Tiara. Dalam masa yang sama, Danny masih berusaha menjejak gadis misteri demi sebuah kebenaran dengan apa cara sekalipun sekali gus membongkar misteri yang membelenggu hidupnya. Berjayakah Danny menjejaki siapa ibu bapa kandung Rizqi? Saksikan drama 28 episod ini terbitan Mache All Star United Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Eoon Shuhaini ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam.
Pelakon: Remy Ishak, Mira Filzah, Sarah Hildebrand, Syazwan Zulkifly, Elisya Sandha, Mustaqim Bahadon, Aida Khalida, Azar Azmi, Aidil Aziz, Dian P Ramlee, Catriona Ros

Petua Nenek-3

LIZA ABDULLAH DAN ADIBA YUNUS KONGSI PETUA
Slot Dahlia, Mulai 22 Disember, Setiap Sabtu & Ahad, Jam 6.58 Petang

Orang melayu dan petua tidak dapat dipisahkan. Sejak sekian lamanya perubatan tradisional dan petua menjadi satu tradisi yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Pelbagai cara yang diamalkan oleh orang Melayu bagi menjaga kecantikan dan kesihatan. Menerusi drama terbaharu slot Dahlia mulai 22 Disember ini, Petua Nenek lakonan Liza Abdullah dan Adiba Yunus, penonton dapat melihat pelbagai jenis petua yang dikongsikan mereka bersama penduduk kampung.

Drama terbitan A.Aida Production ini mengisahkan Qaseh Arina (Adiba Yunus) yang dibesarkan oleh neneknya, Nek Embun (Liza Abdullah). Nek Embun merupakan seorang bidan yang terkenal dengan pelbagai petua. Sejak kecil lagi Qaseh sudah mengikuti Nek Embun menyambut kelahiran bayi dan Qaseh ingin menjadi seperti neneknya itu. Setiap petua Nek Embun, Qaseh catitkan di dalam buku notanya. Petua-petua Nek Embun dibawa Qaseh sehinggalah dia melanjutkan pelajaran di universiti di Kuala Lumpur. Pelbagai aksi mencuit hati yang dilakukan oleh Qaseh dengan petua-petua Nek Embun sehinggakan dia dikatakan kolot oleh rakan-rakan universiti.

Orang bandar tidak percaya pada petua-petua Qaseh. Tetapi, petua Qaseh berhasil membantu menyelesaikan masalah Nash (Raja Afiq), jejaka kaya dan tampan tetapi mempunyai masalah bau badan. Sejak itu mereka berkawan baik. Pelbagai lagi aksi mencuti hati Qaseh dengan petua-petuanya sehinggakan rakan serumahnya dimasukkan ke hospital kerana alah pada ramuan yang digunakan Qaseh.

Qaseh dimarahi dan dihalau keluar dari rumah sewa mereka. Apakah yang akan terjadi pada Qaseh? Masihkah dia berpegang pada petua-petua Nek Embun? Pastikan anda ikuti telatah menghiburkan Adibah Yunus dan Liza Abdullah dalam Petua Nenek yang diarahkan oleh Along Kamaluddin di slot Dahlia, setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam mulai 22 Disember ini.
Pelakon: Adibah Yunus, Raja Afiq, Liza Abdullah, Zaidi Omar, Nafiez Zaidi, Julia Farhana Marin, Annie Ariffin, Keena Mentor.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

DuitNow Cara Baru Untuk Buat Bayaran

Teater YOEP Tribut Buat Seniman Negara Syed Alwi