in , , ,

Press Junket Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY di Hong Kong

Baru-baru ini, Budiey telah dihantar ke Hong Kong oleh LOTUS FIVE STAR untuk mengikuti press junket filem MASTER Z: IP MAN LEGACY dan berpeluang mendengar sesi temubual bersama dengan penulis skrip iaitu Edmund Wong dan Tai-lee Chan.

Mulai 25 Disember ini, anda bakal dihidangkan dengan sebuah filem aksi kung-fu yang cukup mengujakan berjudul MASTER Z: THE IP MAN LEGACY. Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY menceitakan tentang Wing Chun master iaitu Cheung Tin Chi lakonan mantap dari Max Zhang yang telah menutup sekolah mempelajari ilmu seni mempertahankan diri. Beliau mengambil keputusan untuk hidup dengan lebih sederhana sebagai pemilik kedai runcit.

Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY

Cheung Tin Chi kemudian menemui masalah dengan satu kumpulan gengster yang dilakonkan oleh Kevin Cheng selepas Cheung Tin Chi mencuba untuk menyelamatkan dua orang wanita yang telah diserang. Apa yang berlaku seterusnya?

MASTER Z: IP MAN LEGACY

Selepas selesai menonton, ternyata percubaan untuk menjadikan filem ini menarik dan selesa ditonton cukup berjaya. Menerusi satu temubual, segala kritikan telah diambil oleh Max Zhang untuk memberikan yang terbaik untuk filem ini. Bukan mudah untuk menjadikan filem ini berkesan dan ada impak di mata penonton.

Terutama sekali babak yang melibatkan pertarungan kungfu dengan jumlah lawan yang agak ramai. Memang nampak kacang bagi kita tapi bukan kepada penggendong watak berat seperti yang dipikul oleh Max Zhang.

Kebolehan dan keyakinan adalah bukti utama kepercayaan yang diberikan oleh penerbit filem kepadanya. Max Zhang dipilih untuk memaparkan filem ‘spin off’ yang pertama kali berdiri sendiri ini dari siri yang menguntungkan sebelum ini.

Menghidupkan semula peranannya sebagai Cheung Tin-chi, yang dikalahkan oleh Ip dalam filem sebelumnya, Zhang diletakkan dalam satu siri adegan pertarungan mendebarkan dengan lawan berprofil tinggi.

Max Zhang berkata, filem terbaru ini menjanjikan lebih aksi berbanding filem IP Man 3. Dia juga turut berkongsi apabila berlakon di dalam filem aksi seperti ini, dirinya akan terdedah dengan pelbagai kecederaan.

Begitu juga dengan keseimbangan yang diletakkan oleh penulis skrip filem ini iaitu Edmund Wong dan Tai-lee Chan.  Dua orang yang punya nama besar ini sememangnya layak meletakkan titik fokus antara seni mempertahankan diri dan nilai kemanusiaan yang diketengahkan.

Semua orang tahu, Max Zhang cukup mahir dengan seni mempertahankan diri. Walaupun melalui filem ini, kedua penulis skrip fokus kepada seni pertarungan kung-fu, namun nilai sentimen serta mesej pengajaran juga turut diselitkan. Ini menjadikan filem ini tidaklah dipandang kosong dan fokus kepada nilai komersial semata-mata.

Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY

Sebagai pengarah yang berpengalaman bertaraf legenda, Woo-Ping Yuen memandang berat tentang karakter dalam filem ini. Sememangnya adalah menjadi kreativiti pengarah untuk mencungkil karakter sebenar sebagaimana yang diinginkan oleh penulis skrip. Ini sangat penting. Kerana itulah kena ada perbincangan bersama dengan pelakon sebelum memulakan pengambaran.

Bekerja dengan pengarah yang sangat profesional, kedua-dua orang penulis skrip cuba untuk mencari kesempurnaan dan bikin filem ini hebat di mata penonton. Walapun bekerja bersama pengarah yang bertaraf legend, namun semua pelakon memberi sepenuh tenaga berganding bahu untuk kejayaan filem ini.

Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY
Pengarah Woo-Ping Yuen

Menurut pengarah, sepanjang pengambaran beliau melihat gandingan dan chemistry antara pelakon sangat memberangsangkan. Tiada masalah dari segi siapa yang lebih popular. Malah kesemua memberikan cadangan dan idea yang lebih baru dan fresh. Kesemua idea itu diterima oleh pengarah sebagai satu idea yang bagus dan beliau sentiasa berfikiran terbuka untuk menerima apa sahaja cadangan dan buah fikiran dari pelakon.

Penulis skrip juga menjawab soalan tentang bagaimana mereka mengimbangi kreativiti dengan nilai kemanusiaan, mereka menghadapi masalah di mana untuk mencari kreativiti dan dalam masa yang sama mereka mahu menampilkan sesuatu yang ada nilai serta menyentuh perasaan penonton. Mereka menjanjikan cerita yang lebih fresh. Kalau tidak, selepas ini mungkin dah tak nak menonton lagi filem Ip Man. Mereka takut menjejaskan nama dan jenama Ip Man itu tersendiri di mata penonton.

Selain fokus kepada karakter, isu utama dalam masyarakat turut dikeutamakan iaitu masalah gejala dadah yang melanda masyarakat dunia umumnya.

Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY
Budiey sempat merakam kenangan bergambar bersama Max Zhang

Walaupun ada pengulas mengandaikan impak tidak sehebat yang ditampil dalam filem Ip Man sebelum ini, namun ia bukan silap Max Zhang. Lakonan Max Zhang layak untuk menerima pujian dan sanjungan. Terutama sekali, saya merasakan babak pertarungannya dengan Dave Bautista di momen terakhir filem ini nampak lebih menarik untuk ditonton. Ini adalah kerana perbezaan ketara antara saiz tubuh badan Max Zhang dan Dave Bautista. Ternyata Dave sangat bersaiz besar dan ini menjadi daya tarikan utama untuk melihat samada Max Zhang berjaya atau tidak untuk mengalahkkan pihak lawan yang jauh lebih besar.

Pemilihan pelakon rata-ratanya adalah bergantung kepada kekuatan bakat seiring dengan kemahiran seni mempertahankan diri. Pergerakan dan juga koreagrafer dalam setiap babak pertarungan dibuat dan disusun oleh golongan yang berpengalaman. Begitu juga pemilihan lokasi penggambaran telah dijalankan di pinggir bandar Foshan, China yang sesuai dengan jalan cerita.

Menurut penulis skrip, idea untuk menghasilkan filem ini adalah dari kisah masyarakat. Ilham datang bukan dari kisah mana-mana kisah sebenar pun. Konsepnya, buat baik dibalas baik, buat jahat mendapat balasan jahat. Watak utama dalam filem ini dikembangkan kepada seorang yang intense yang bermain dengan perasaan dan stressnya menjadi mereka ini yang menghadapi masalah sehingga konflik menjadi lebih besar dan rumit. Sekaligus kita sebagai penonton memerlukan pemerhatian yang maksimum. Bukan sekadar duduk di kerusi panggung dan layan cerita sampai habis.

Filem ini memiliki simpulan plot dan saya cadangkan anda kena terus melekat di kerusi walaupun kisahnya senang untuk difahami. Mungkin selepas menonton filem ini anda akan buat konklusi bahawa korupsi dan masalah sosial adalah bahan fikir atau tiang asas sebenar filem ini tetapi bagi saya adalah lebih kompleks daripada itu. Elemen utamanya adalah siasatan dan jenayah. Anda fikir sendiri musibahnya.

Kehebatan lakon layar juga tidak dapat disangkal menjadikan filem ini sangat sempurna untuk ditonton. Tahniah buat semua yang menjayakan filem ini.

Sesuatu yang tipikal terhadap filem yang hebat seperti ini ialah klimaks atau pun penghujungnya yang begitu absurd atau mengejutkan bagi sesetengah penonton. Saya juga tidak sangka klimaks Master Z ini begitu ekstrim dan membuatkan saya mahu menonton lagi jika ada masa dan peluang.

Tidak dinafikan nama Max Zhang menjadi perhatian dunia terutama Hollywood dengan wataknya dalam filem aksi yang sangat handal dalam dunia seni mempertahankan diri. Beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman hidupnya dengan audiens.

“Saya benar-benar ingin berkomunikasi dengan audiens menerusi setiap filem saya. Hidup ini adalah mengenai keseimbangan. Eleman ini sangat penting sebab kita dapat memahami keadaan dan masalah manusia lain. Ia juga adalah tentang fokus kita untuk hari ini tanpa merisaukan tentang masa depan.” – Max Zhang

Sebab utama bagusnya filem ini ialah kerana lakonan semua bintangnya terutama sekali Max Zhang sangat sangat cool nampak terpapar aksinya di layar. Kalau nak diikutkan jalan cerita bukan sesuatu yang baru atau radikal pun, tapi apabila ada nama-nama besar seperti Michelle Yeoh, Tony Jaa dan juga Dave Bautista, filem ini menjadi lengkap. Korang tengok la sendiri.

Menemubual bersama pengarah Woo-Ping Yuen, beliau begitu suka bercakap tentang karakter. Beliau juga melahirkan rasa sangat bertuah kerana dapat bekerja dengan krew dan kesemua pelakon yang sangat berkaliber.

Filem Master Z : The Ip Man Legacy

Menurut Patrick Tam, dalam filem ini juga, ada persamaan dengan kehidupannya yang pernah dikecewakan olen kawan yang tidak setia dengannya. Pernah satu ketika dulu, kawannya menikam dari belakang ternyata sama dengan apa yang dialami oleh karakter dalam filem ini.

Bercakap tentang karakter, Patrick Tam mengatakan ia sangat dramatik dilakonkan walaupun memerlukan aksi yang mencabar fizikal dan mental. Semasa di set pengambaran, beliau berbincang dengan pengarah bagaimana cara untuk menjadikan karakternya lebih menarik. Kerana dari sudut karakter dan skrip, karakternya lebih ada unsur-unsur yang melucukan. Lebih komikal. Jadi, beliau berharap, penonton akan terhibur dengan apa yang disampaikan. Semasa majlis tontonan premiere di Busan, ramai yang mengatakan karakter dalam filem ini sangat menghiburkan. Ternyata ia satu kejayaan baginya kerana ramai yang memberikan komen yang positif.

“Sebenarnya ada ramai lagi pelakon yang berkaliber dan boleh bawa watak ini dengan baik, tapi dengan kepercayaan semua pihak, saya mahu buat yang terbaik untuk menjayakan filem ini.” – Patrick Tam

Filem Master Z : The Ip Man Legacy

Menurut Patrick Tam lagi, dalam dunia lakonan, beliau sangat bertuah kerana sempat belajar tentang ilmu tentang muzik. Ini menjadikan beliau ada satu kelebihan berbanding pelakon lain. Ini membuka peluang kepadanya untuk berlakon watak-watak yang memerlukan beliau menggunakan alat muzik.

Max Zhang pula memberitahu tentang rahsia kehidupannya yang begitu obses tentang dunia seni mempertahankan diri. Umum semua tahu, Max Zhang sangat berminat dengan filem seni mempertahankan diri dan tidak disangkal lagi beliau akan terus berjuang untuk berlakon dalam filem aksi seperti ini.

Martial arts adalah sebahagian dari hidupnya. Jadi, beliau mempergunakan bakat dan kebolehan dalam seni mempertahankan diri untuk tontonan peminat. Selain dari menyampaikan mesej, beliau percaya seni ini satu legasi yang cukup memberi momen dan sejarah dalam kariernya.

Max Zhang juga melahirkan rasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk bekerja dengan Michelle Yeoh.

Max Zhang berharap penerbit akan buat sambungan filem ini. Itu pun kalau filem ini mencapai satu kejayaan dan penonton masih lagi mahu menonton aksi dalam filem ini. Seperti biasa, penonton akan membandingkan mutu aksi Max Zhang dengan Donnie Yen. Ia seolah dapat menjangkakan tentang hal ini.

Filem Master Z : The Ip Man Legacy

Mungkin akan ada perbandingan dengan Donnie Yen – tapi beliau sudah menjangkakan tapi dia tak memandang satu perkara yang sangat serius. Masing-masing ada keistimewaan masing-masing.

Kami juga turut menemubual pelakon yang memegang watak sebagai adik kepada Michelle Yeoh bernama Kevin Cheng. Beliau turut berkongsi pengalaman bekerja dengan pengarah untuk membawa watak jahat. Menurutnya watak ini memerlukan kuasa dalaman sebab ia tak ramai yang realise.

Selain itu, beliau akui pengalaman bekerja dengan Michelle Yeoh adalah satu pengalaman yang sangat berharga sebab Michelle adalah sebuah nama besar. Beliau banyak menimba pengalaman baru dan menganggap Michelle Yeoh sukar dicari ganti.

Filem MASTER Z : THE IP MAN LEGACY diedarkan oleh Lotus Five Star di Malaysia dan menjanjikan aksi yang cukup luar biasa. Pergilah menonton.

Filem Master Z : The Ip Man Legacy
Filem Master Z : The Ip Man Legacy
Filem Master Z : The Ip Man Legacy
Filem Master Z : The Ip Man Legacy

Filem Master Z : The Ip Man Legacy
Filem Master Z : The Ip Man Legacy
Filem Master Z : The Ip Man Legacy
Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY
Filem MASTER Z: THE IP MAN LEGACY

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dream Cruises Enhances THE PALACE

Jejak Pembunuh Sebenar Dalam Telemovie MISTERI UBI KAYU