Memetik dari portal Harian Metro, anggota Forteen, Ariz Lufias, 29, mengaku terkejut dengan keputusan drastik Izzue Islam apabila mengumumkan menarik diri daripada kumpulan itu semasa Konsert Final GEGAR VAGANZA 5.
Ariz berkata, dia beranggapan wujud salah faham kecil antara ahli kumpulan, namun tidak menyangka Izzue mengambil keputusan keluar tanpa berbincang dengan ahli yang lain.
“Kami sangat terkejut dengan keputusan Izzue kerana tiada sebarang perbincangan dilakukan.
“Sebenarnya bangun pagi tadi pun kami masih terpinga-pinga dan rasa macam mimpi. Ini bukan gimik,” – Ariz
Menurut Ariz, masalah yang berlaku antara Izzue dan ahli Forteen sangat kecil, namun beranggapan mungkin ada faktor lain yang mempengaruhinya untuk mengambil keputusan terbabit.
“Masalah yang berlaku antara kami sangat kecil. Tipulah kalau saya katakan tiada salah faham sepanjang tujuh tahun kami bersama.
“Tapi selalunya kami akan berbincang tapi semalam keputusan yang dibuat memang buat kami buntu.
“Saya rasa mungkin ada benda lain yang membuatkan dia ambil keputusan itu. Kalau dia kata suaranya tak bagus, takkan setiap kali keluar lagu baru ada sambutan terhadap lagu terbabit,” – Ariz
Katanya, mereka tidak bersetuju apabila Izzue mengatakan suaranya tidak sedap, namun kami hormati pendiriannya dan mendoakan yang terbaik.
Semalam, Izzue mengejutkan peminat apabila mengumumkan meninggalkan Forteen ketika melangkah di segmen karpet merah pentas akhir musim kelima Gegar Vaganza (GV5) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam.
Tanpa menyatakan alasan kukuh, Izzue menganggap dirinya tidak lagi sesuai berada dalam Forteen berikutan prestasinya kurang memuaskan.
Sumber: Harian Metro