Pada 22 Jun 2010 lalu, Budiey berkesempatan untuk hadir di Pelancaran Album Fieldplayers yang diadakan di No Black Tie, Kuala Lumpur. Wah, minggu ini banyak betul jemputan untuk pelancaran album dan secara kebetulan semuanya adalah dari artis indie dan baru. Namun, Fieldplayers bukan grup baru kerana ditubuhkan pada 2004, cuma mungkin ramai lagi peminat muzik di luar sana tidak mengenali grup ini.
Fieldplayers adalah nama sebuah kumpulan yang dianggotai oleh Jart Hassan (vokalis), Bob Jr (Gitar), Rozek Rashid (Bass), John Sayap (Keys), Bob Skunjas (drums), Nazmi Ariff (perkusi), Fareed Aziz (trumpet), Imran Aiman (Sax) dengan disokong oleh member mereka , Fik Ismail sebagai audio engineer dan Zakey Javis sebagai arranger.
Grup yang ditubuhkan lewat 2004 ini begitu meminati bidang muzik dan karya muzik mereka hasil dari hati yang sangat ikhlas. Tidak bersandarkan pada rupa, Fieldplayers mempertaruhkan muzik yang bergenrekan New Age Malay – irama Melayu Generasi Baru. Meskipun bilangan pemuzik yang ramai, namun grup ini mementingkan harmoni muzik agar ianya selesa di jiwa dan telinga pendengar.
Di pelancaran ini, Fieldplayers mempersembahkan beberapa lagu dari album ini kepada media dan peminat.
Lihat pada kulit album ini yang meletakkan gambar keris – senjata lambang keberanian dan akar orang Melayu. Jelas menunjukkan misi grup muzik ini.
Album perrtama ini mengandungi 10 buah lagu. Antara judul lagu yang terkandung dalam album ini ialah Oyoyo, Alahai (Apa Cerita?), Padang, Empat Dara, Rajawali, Ya Salam, Crying Land, Mekar Harum Nusantara dan Fly Away.
Ulasan Album:
Oyoyo – Irama lagu mengingatkan Budiey dengan irama lagu-lagu riang ria di awal era 90an dulu. Yang istimewanya, irama rancak lagu ini begitu catchy dan mungkin membuatkan anda goyang bahu. Budiey suka dengan lirik lagu ini yang mempunyai pesanan, moral dan pengajaran tentang realiti hidup.
Alahai (Apa Cerita?) – Sebuah irama etnik joget yang disuntik dengan kontemporari. Track kedua ini juga adalah lagu yang semi-rancak. Seperti lagu pertama, lirik lagu ini seakan bertanyakan tentang senario masyarakat kita. Disampaikan dengan beberapa rangkap pantun yang sentiasa kita dengar.
Padang – Irama lagu ini agak smooth pada intronya. Agak melo seiring dengan lirik yang mengandungi terma-terma yang agak sayu dan sedih. Nada-nada kecewa berjaya dibawa oleh vokalis Jart Hassan dengan baik. Permainan vokal rendah dan tinggi juga menjadi perhiasan utama lagu ini.
Empat Dara – Siapa yang tak tahu dengan lagu ini. Rasanya semua pernah dengan lagu ini. Sejak kecil lagi, lagu ini menjadi siulan bersama rakan-rakan. Kelainan irama untuk lagu ini sangat memberangsangkan. Sedikit jazzy, irama lagu ini dimantapkan lagi dengan gaya dan karakter berbeza. Budiey suka dengar lagu ini terutama pada bahagian vokalnya.
Rajawali – Diambil dari karya yang pernah dimainkan oleh M.Nasir, lagu ini diperkuatkan lagi dengan memasukkan muzik-muzik yang berencah. Cuma untuk versi ini bagi Budiey agak biasa dan sekadar untuk memberi penanda aras pada nuansa muzik Fieldplayers. Apa-apa pun, harmoni muzik tetap ada.
Ya Salam – Wah! Intro lagu ini mengancam jiwa. Bunyi-bunyiannya sangat lain kalau dibandingkan dengan versi lama untuk lagu-lagu etnik joget. Dinyanyikan oleh Lynda Haramain. Lagu ini mungkin akan menambat hati sesiapa yang suka dengan lagu-lagu joget.
Crying Land – Sesuai dengan judul lagunya yang agak slow, maka irama lagu ini begitu membuai rasa. Mungkin ada yang rasa lagu ini anti-klimaks kerana ianya memang rupanya begitu. Cuma permainan vokal menjadi isu besar untuk mengangkat lagu ini. Sebuah inggeris yang boleh membuat kita rasa enak terbuai.
Ya Laddan – Sebuah lagi lagu joget zapin menjadi penyeri album ini. Dinyanyikan oleh Lynda Haramaini. Enjoy dengan lagu sebegini kerana ia menjadi akar pada budaya muzik zapin yang tak lapuk ditinggal zaman. Kerancakan pada irama ini bikin semua pendengar nak cuba menari zapin?
Mekar Harum Nusantara – Wah, irama untuk lagu nyanyian Fazrah Bahari ini ternyata fresh. Para penggemar muzik nusantara Melayu pasti akan menggemarinya.
Fly Away – Sebuah lagu Inggeris yang mencampurkan elemen jazz dan kontemporari. Iramanya tidak statik dan berlari dalam satu nota yang berbeza dari baris ke baris.
Keseluruhan lagu dalam album ini menyerap nilai muzik yang jarang diperjuangkan oleh pengkarya kita. Ada, cuma pasti market untuk lagu-lagu seperti ini tidak berapa dihargai oleh orang kita. Ternyata, niat murni grup ini untuk mengangkat lagu-lagu joget dilihat sangat berani.
Album ini boleh dibeli di pasaran dengan harga RM19.90.
Muzik harmoni menyatukan Fieldplayers
Fareed Aziz – Trumpet
Jart Hassan – Vokalis
Mohd Shique Fazreekh
Imran Johari – Sax
Rozek Rashid – Bass
Bob Skunjas – Drums
Johan – Keyboards
Nazmi Ariff – Perkusi