Menerusi travelog terbaharu yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Kelana Pulau” mulai 10 November Ini, setiap Sabtu, pukul 2.30 petang di TV1, penonton diberikan lebih informasi keistimewaan pelancongan seperti pantai, kebudayaan dan makanan di pulau-pulau Malaysia.
Kembara Bajet Dalam Travelog KELANA PULAU Bersama Hos Mona Allen dan Ana Dahlia
Dua pelakon cantik Mona Allen dan Ana Dahlia membawa penonton secara santai kembara ke pulau-pulau serata Malaysia antaranya Pulau Pangkor, Pulau Carey, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Tinggi.
Sepanjang 13 episod program ini, penonton bukan sahaja dapat berkongsi info lokasi pilihan percutian mengujakan sebaliknya juga dapat merangka perbelanjaan yang mahu digunakan dengan bajet yang minima.
Lokasi pertama dikunjungi Pulau Pangkor dengan menaiki feri ke pulau itu serta bermotosikal sekitar pulau itu dan mencari Kota Belanda yang mencatat kembali beberapa babak sejarah Belanda di pulau itu. Mereka makan di Hasnah Corner sebelum pergi ke pantai Pasir Bogak. Mereka sempat menemui Pak Su yang menjual sate ikan dan melihat pemprosesan makanan itu. Mereka turut menunggang jet ski dan menaiki ‘ flying fox’.
Mona dan Ana mengunjungi Pulau Carey, di Selangor melawat Tadom Hill Resort, sebuah tasik yang penuh dengan aktiviti air seperti mengayuh rakit dan sampan. Di situ mereka singgah di kampung Sungai Bumbun, merupakan kampung orang asli Mah Meri untuk melihat tarian dan keramaian orang asli itu. Mereka kemudian bersiar-siar di pesisir pantai Pulau Carey.
Masih di Selangor, destinasi mereka ke Pulau Ketam yang sebahagian besar pulaunya dipenuhi dengan hutan payah bakau. Mereka menjamu selera di kedai Cik Ina, satu-satunya orang Melayu yang tinggal di pulau ketam. Penduduk pulau ini adalah nelayan dan ada juga yang membela arnab. Pengunjung boleh berbasikal mengelilingi kampung. Pulau Ketam kini lengkap dengan prasarana seperti balai bomba, balai polis, tempat ibadat dan sekolah-sekolah.
Kembara mereka tiba di negeri Johor pula dan lokasi dipilih Kota Tinggi, Johor Bahru. Menyingkap mercu tanda seperti stesen bas, bangunan-bangunan bersejarah dan persekitaran Kota Tinggi. Mereka mencari petunjuk yang menyebut Sapnalek ia itu sebuah medan selera di Kota Tinggi. Belangkas Mahkota menjadi resipi popular di sini. Selepas itu mereka melawat Muzium Kota, Makam Laksamana Bentan dan isterinya serta Makam Sultan Mahmud. Air terjun Kota Tinggi terletak di kaki Gunung Muntahak.
Mereka kemudiannya mengunjungi ATV Park di Kota Tinggi dan mencuba motosikal pacuan roda empat mengelilingi sebuah ladang kelapa sawit. Kemudian menyingkap di Teluk Sengat, Johor Lama yang sangat menarik pemandangannya. Di sini terletaknya mercu tanda Muzium Kota Lama Johor yang penuh dengan artifak seperti pinggan mangkuk negeri Cina dan Meriam Lela. Taman Buaya di Teluk Sengat menyimpan lebih daripada seribu ekor buaya dan hos memberi makanan kepada buaya.
Seterusnya di Mersing, Johor mereka singgah di Taman Laut Sultan Iskandar dan menaiki kereta kuda seterusnya ke kilang membuat keropok Lekor. Selepas itu mereka menaiki bot dari jeti Tanjung Leman pergi ke Pulau Tinggi. Di Pulau Tinggi itu mereka berkayak, membuat ‘scuba diving ’ dan mengutip siput.
Episod di Pahang membawa mereka ke Temerloh, yang sememangnya terkenal dengan gulai ikan Patin. Kemudian bersiar-siar menyeberangi jambatan gantung Sungai Semantan dan ke pusat penjagaan gajah Kuala Gandah, di Lancang yang merupakan satu-satunya pusat konservasi yang terbesar di negara ini. pengunjung dapat melihat habitat gajah dan rusa juga haiwan seperti ular sawa, burung merak dan lain-lain.
Di Cameron Highlands pula, mereka melangkapkan aktiviti dengan bersiar-siar di taman bunga dan strawberi sambil mencuba pelbagai resipi yang berasakan strawberi. Turut dikunjungi Galeri antik mempamerkan barang-barang lama, Bee Farm yang menjual madu lebah selain merasai pengalaman pemprosesan teh.
Terletak di lokasi strategik, mereka berkunjung ke Ipoh, Perak dan bersiar-siar dan berkongsi paparan tentang Stesen Kereta Api, Dataran Ipoh, Bangunan Perbandaran Ipoh, Kelab Rotari Ipoh, Perpustakaan Tun Razak dan Memori Lane di mana terdapat barang-barang antik. Seterusnya ke destinasi gunung bertasik iaitu Taman Rekreasi Gunung Lang yang mempunyai tasik besar dan boleh menaiki bot menikmati pemandangan bukit-bukau di sekitar tasik itu. Mereka juga melawat medan selera yang dikenali sebagai ‘Plan B‘ dan muzium Yasmin Yusof.
Nun jauh di utara, episod di negeri Perlis, aktiviti menarik melawat Taman Ular dan Reptilia Negeri Perlis. Perjalanan mereka diteruskan sehingga Padang Besar yang terletak di sempadan Thailand dan membeli barang. Mereka menunaikan solat di Masjid Negeri, masjid terapung. Gua Kelam sejauh 400 meter merupakan destinasi terakhir mereka di situ.
Mereka meneruskan destinasi ke Pulau Pinang untuk bersiar-siar di mercu tanda popular seperti Padang Kota Lama, Fort Cornwallis, Esplanade, Menara Jam dan Muzium Terbalik. Mereka menjamu selera di kedai Nasi Kandar Tunas dan menaiki beca mencari seni lukisan mural di dinding bangunan lama serta mengunjungi rumah kelahiran Tan Seri P.Ramlee.
Program ini diakhiri kunjungan ke Pulau Langkawi dan singgah di mercu tanda Dataran Lang sebelum mendapat petunjuk untuk ke destinasi seterusnya iaitu Pantai Pasir Hitam. Tasik air panas dan spa menjadi penawar kepada kaki yang penat. Mereka singgah di Makam Mahsuri dan mengimbas kembali sejarah di sebalik legenda itu. Kemudian menaiki ‘Cable Car‘ pergi ke puncak bukit dan ‘Sky Bridge’. Selain itu mereka juga melawat lukisan mural di Muzium Lukisan.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.