Dari segi populariti, sudah tentu lagu Pematah Hati ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini serta Misteri garapan Gouffran dan Sang Hitam memang kuat. Dengan populariti itu, sudah dapat menempatkan diri tapi kerana undian dan kurang markah juri, lagu ini gagal untuk mara. Apa tah lagi kedua-dua lagu berkenaan masing-masing dinyanyikan oleh penyanyi popular, Nabila Razali dan Ernie Zakri.
Sungguhpun peminat mula meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemilihan 30 buah lagu yang bakal berentap pada SFMM33, namun pihak produksi menyifatkan rancangan tersebut mempunyai justifikasi tersendiri mengenai kegagalan dua lagu tersebut untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Penerbit Eksekutif Muzik-Muzik 33, Nurul Huda Khalid berkata, pemilihan lagu ke peringkat separuh akhir dibuat berdasarkan beberapa aspek penting iaitu markah penjurian awal, jumlah undian peminat, kedudukan carta dan tempoh lagu mampu bertahan.
“Setiap lagu yang ingin memasuki Muzik Muzik perlu melalui sesi penjurian awal. Jika lulus, barulah lagu berkenaan boleh diundi oleh peminat.
“Jadi, lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir mempunyai markah tertinggi sejak dari sesi penjurian awal sehinggalah tempoh hayat berada dalam carta,”
Menurut Huda, kegagalan lagu Pematah Hati dan Misteri mendapat tempat pada SFMM33 disebabkan kekurangan markah penjurian awal atau undian peminat.
“Biarpun lagu berkenaan popular di radio atau platform digital, ia tidak semestinya berjaya memikat hati semasa proses penjurian awal,”
Dalam pada itu, menerusi senarai yang diumumkan, lagu Bunga nyanyian Altimet berjaya lolos ke SFMM33. Namun, mengikut perancangan, penyanyi itu mahu bersara daripada bidang nyanyian pada tahun hadapan.
Keputusannya untuk bersara mungkin memberi sedikit kekeliruan jika lagu berkenaan dipilih ke peringkat akhir dan berentap di pentas AJL33.
Ditanya mengenai perkara tersebut, Huda menjelaskan, pihak Muzik Muzik tidak mempunyai masalah dengan keputusan Altimet untuk bersara.
Katanya, jika Altimet memilih untuk bersara pada tahun hadapan dan lagu berkenaan berjaya ke AJL33, komposernya berhak untuk memilih penyanyi lain menyanyikan lagu tersebut.
“Sebelum ini pun kami tidak pernah mewajibkan penyanyi asal membuat persembahan pada malam kemuncak AJL.
“Jika ada sebarang kesukaran, komposer dan penulis lirik boleh memilih penyanyi lain untuk menyanyi pada malam berkenaan,” katanya lagi.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Haziq Hussni, SFMM33 bakal diadakan pada 9, 16 dan 23 November ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor. Ia turut disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam.
Lagu-lagu yang layak ke AJL33 pula akan diumumkan pada minggu akhir iaitu pada 20 November.