KONGSI RESEPI PELIK TAPI SEDAP MULAI 4 JULAI DI TV1
Pernahkan anda mendengar resepi pelik seperti Sup Gamat, Rojak Kateh, Sambal Kulit Ubi Kayu, Poli Ubi, Masak Lemak Prediator, Roti Kebulur, Chelok Kulit Tembikai, Gulai Keropok, Bubur Picit, Apam Daun Rambai, Laksa Belut, Itik Masak Kopi dan Buah Mangga Bersalut Roti Jala? Pelik namanya tetapi menu-menu ini pastinya menarik untuk dicuba dan dihidangkan kepada seisi keluarga.
Disiarkan 26 episod, program terbaharu Pelik Tapi Sedap disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 4 Julai 2010, setiap Ahad, jam 12.05 tengah hari di TV1 ini mengajak penonton berkongsi resepi hidangan lazat di dapur dengan mengunjungi destinasi menarik ke serata negeri di Malaysia bersama pengacara Zamzarina bergandingan dengan pelakon Zaibo.
Terkenal dengan berbagai hidangan unik dan tersendiri yang menjadi daya penarik meskipun agak pelik bunyinya, program Pelik Tapi Sedap menjelajah ke serata negeri di seluruh negara untuk mencuba berbagai resepi baru selain memperkenalkan daerah tertentu pada penonton.
Apatahlagi program ini juga mampu menyumbang untuk membantu industri pelancongan tempatan berdasarkan segmen yang sedia ada di mana akan memperkenalkan lokasi sebenar di mana makanan ini boleh didapati seperti di pusat peranginan atau restoran tertentu yang ada menyediakannya. Malah di samping itu dapat mempopularkan semula beberapa resepi tradisional yang kian dilupakan oleh generasi kini.
Pastinya program ini juga sebagai menyahut kempen kerajaan untuk memupuk semangat jimat cermat dan memperbanyakkan sumber tempatan di dalam menu seharian kerana bahan-bahan utama yang digunakan setiap resepi adalah murah dan mudah diperolehi.
Sepanjang setengah jam siarannya, Pelik Tapi Sedap turut menyumbang dalam membantu industri pelancongan dan usahawan dengan memaparkan beberapa lokasi yang ada menyediakan masakan pelik dan makanan unik ini. Sekaligus memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan bahan-bahan mudah diperolehi dan murah bagi dipelbagaikan dalam menu harian.
Berlatarkan lokasi penggambaran di luar studio sepenuhnya yang bersesuaian dengan konsep progam, ia bakal dipersembahkan dalam beberapa segmen menarik di mana Zamzarina dan Zaibo berada di dapur sewaktu menyediakan hidangan.
Menerusi segmen pembukaan, Zaibo akan menjelajah beberapa daerah, pusat peranginan serta restoran dipilih yang menyediakan menu istimewa. Untuk segmen ini pengacara akan menemuramah individu yang pakar dalam penyediaan menu dipilih.
Setiap episod akan disediakan dua resepi istimewa iaitu menu utama dan ringan. Menu utama lebih kepada lauk-lauk untuk makan tengahari atau malam. Sementara resepi kedua pula lebih mudah penyediaannya seperti kuih muih tradisional, sajian untuk minum petang, pencuci mulut dan sebagainya.
Kepada anda yang ingin mencuba dan berkongsi resepi menarik ini, usah ketinggalan meluangkan masa menonton program Pelik Tapi Sedap mulai 4 Julai 2010, setiap Ahad, jam 12.05 tengah hari di TV1.