Memetik laporan dari Portal BH Online hari ini, anggota kumpulan Forteen, Ameer, bakal menamatkan zaman bujang bersama gadis pilihannya pada Mac 2019.
Belum mempunyai tarikh tepat untuk majlis pernikahannya, Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 28, berkata ia bakal diumumkan apabila perbincangan antara kedua-dua belah pihak selesai.
Pada 13 Oktober lalu, Ameer telah selamat melangsungkan pertunangan dengan Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, 24 tahun. Setakat ini keluarga masing-masing bersetuju untuk memberikan tempoh empat bulan sebelum kedua-duanya disatukan.
“Alhamdulillah, majlis pertunangan yang diadakan secara kecil-kecilan berjalan lancar. Kedua-dua keluarga juga bersetuju untuk mengadakan majlis perkahwinan kami dalam empat bulan dari sekarang.
“Kalau boleh, saya sendiri tidak mahu melewatkan majlis nikah, memandangkan semakin hari saya juga semakin berusia. Apatah lagi, kata orang, tidak manis kalau kami ke hulu ke hilir tanpa hubungan sah,” – Ameer
Ameer berkata, dia mula mengenali tunangnya menerusi laman sosial pada Ramadan tahun lalu.
“Dia menegur saya buat kali pertama di laman Instagram, dengan menanyakan judul lagu saya nyanyikan dalam video yang dimuat naik di situ. Sejak itu, kami mula berhubung dan tak sangka pula sebenarnya dia juga selalu datang ke acara saya hadiri.”
Ameer memberitahu, sikap Naja’a yang memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seninya membuatkan dia jatuh hati pada gadis berkenaan.
“Dia seorang yang sangat memahami diri saya. Selepas mengenalinya, keyakinan saya bertambah sebanyak 200 peratus. Dia juga seorang yang selalu menggembirakan saya apabila ditimpa masalah.
“Selain itu, dia seorang yang sangat cantik pada pandangan mata saya. Malah, sikapnya yang mementingkan keluarga antara faktor membuatkan saya yakin, dialah wanita pilihan saya,”
Sebelum ini, Ameer pernah bergelar tunangan orang, namun hubungan itu tidak kekal berikutan tiada persefahaman antara mereka.
Dalam perkembangan lain, Ameer dan Forteen kini memberikan perhatian sepenuhnya pada pembabitan mereka dalam sebuah program realiti.
Selepas komitmen bersama program itu berakhir, Forteen akan muncul bersama single baharu.
“Single itu sebenarnya sudah siap, namun kami hanya akan melancarkannya apabila komitmen kumpulan ini bersama program terbabit selesai.
“Menerusi single itu nanti, peminat boleh mengharapkan sesuatu yang segar daripada kami,”
Ameer pernah muncul dengan lagu solo berjudul Pulangkan Cinta, awal tahun ini.
Semoga Ameer selamat melangsungkan majlis raja sehari itu nanti. Doa yang baik-baik ya.