Tanggapan negatif orang ramai dan masyarakat sekeliling membuatkan kerjaya sebagai pembantu rumah dengan melabelkan pekerjaan ini pilihan terakhir bukanlah asing lagi.
Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa jika bekerja dengan tekun dan setia, mereka mampu menambat hati majikan malah memperoleh keuntungan berganda berbanding pekerjaan lain.
Alasan kerja tersebut membosankan, tiada masa hadapan dan tiada masa bersosial juga antara penyebab ribuan yang menolak kerja itu. Begitu pun masih ada yang bersedia melakukannya selagi ia mampu memberi pulangan lumayan serta manfaat lain.
Situasi ini hakikatnya menyumbang kepada lambakan warga asing yang memanfaatkan peluang yang ada memenuhi permintaan terhadap kerjaya ini.
Menonjolkan sisi lain pelakon cantik Janna Nick yang membawakan watak utama sebagai pembntu rumah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Panggung Ahad pada 7 Oktober ini, pukul 10.05 pagi di TV1 dengan tayangan telemovie bertajuk “Aku Bukan Orang Gaji”.
Turut dibintangi oleh Norman Hakim dan Bil Azali, plot kisah drama ini mengetengahkan watak seorang gadis cantik graduan dalam bidang IT bernama Tuti. Ibu Tuti bekerja sebagai pembantu rumah. Dia kemudiannnya secara paksa rela menggantikan tempat ibunya bekerja sebagai orang gaji di rumah seorang duda bernama Kamal.
Kamal mempunyai dua orang anak dan Tuti cuba memikat hati Kamal dan anak-anaknya. Dia menguruskan keperluan mereka dengan begitu baik sekali dan melayan anak-anak Kamal dengan penuh perhatian.
Dalam pada itu Tuti suka melayari laman sosial facebook dan bercinta dengan seorang jejaka yang memakai nama samaran ‘Humble Man’. Ternyata Tuti menyangkakan ‘Humble Man’ yang selalu menghubunginya melalui laman sosial tersebut adalah Kamal.
Begitu pun harapannya untuk bersama dengan Kamal musnah apabila dia terdengar Kamal memberitahu ibunya bahawa dia jatuh hati dengan cikgu yang mengajar anaknya. Kamal menunjukkan kesungguhannya mahu melamar cikgu sekolah tersebut. Situasi itu membuatkan Tuti menjadi marah dan terus keluar rumah.
Di jalanan dia terjumpa anak jirannya yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Humble Man’. Tuti mula tertanya-tanya adakah anak jirannya itu adalah Hunble Man yang dikenalinya melalui lama sosial tersebut.
Ketika itu barulah Tuti sedar selama ini lauk yang diberikan kepada jirannya itu digemari oleh ‘Humble Man’. Humble Man pula masih berteka-teki perasaannya terhadap Tuti. Begitu juga dengan Tuti yang mula menyukai Humble Man dalam diam.
Siapakah yang menjadi pilihan Tuti? Adakah jodohnya kembali bertaut dengan Kamal atau pun jodohnya panjang dengan Humble Man? Ikuti kesudahannya dalam telemovie ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.