in ,

Asian Idol Program Terhebat Asia Jaclyn Victor Wakil Malaysia?

JACLYN VICTOR MELANGKAH KE ASIAN IDOL
8TV mempersembahkan sebuah program terhebat Asia

Wah! Asian Idol musim pertama akan ditayangkan di 8TV! Selepas Ikon Asean, pertandingan nyanyian vokal Asian Idol akan mengambil tempat bermula 15 Disember ini. Malaysia sekali lagi akan mempertaruhkan Jaclyn Victor sebagai wakil. Berjayakah Jac? Mampukah Jac muncul juara Asian Idol? Hah… korang kena tunggu lah! Budiey tak sabar nak tengok wakil daripada Indonesia (belum ditentukan sebab tak tahu yang mana satu yang bagus.. samada Delon, Mike, Ihsan atau Rini) dan Hardy Mirza dari Singapura… mesti gempak jugak Asian Idol ni sebab rata-rata wakil dah jadi penyanyi terkenal. Seronok tengok diorang kena kutuk dan komen.

Jika dahulu, anda hanya berpeluang mengundi untuk ‘Malaysian Idol’ tetapi kini anda akan berpeluang mengundi untuk Asian Idol pula! Detik bersejarah akan tercipta. Buat pertama kalinya, Asian Idol akan bersiaran di kaca TV anda, dibawakan khas oleh stesen hip kegemaran ramai, 8TV!

Pada 15 Disember ini nanti akan termakbullah hasrat peminat -peminat Idol menonton program terbaik Asia ini apabila  wakil-wakil Negara Asia berentap  dalam program  terbesar ini.  Keputusan siapakah yang bakal merangkul gelaran juara Asian Idol yang pertama akan diketahui pada keesokkannya,16 Disember yang bersiaran secara langsung dari Jakarta.

Selain Malaysia, negara-negara lain seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan India turut mempertaruhkan wakil masing-masing. Setiap negara yang mengambil bahagian menghantar wakil terbaik mereka bagi mengharumkan nama negara masing-masing. Malaysia mempertaruhkan Jaclyn Victor untuk menggalas tanggungjawab besar ini. Nama pemenang ‘Malaysian Idol’ pertama ini adalah nama yang sinonim terlintas di fikiran apabila melibatkan Idol. Penyanyi kegemaran ramai ini mempunyai mutu suara yang terbaik dan telah mengagumkan ramai rakyat Malaysia.

“Asian Idol merupakan sebuah acara pertandingan nyanyian terbesar yang melibatkan bakat-bakat besar di negara-negara Asia. Pertandingan ini memberi platform bagi negara dan para peserta menyerlahkan lagi bakat mereka di peringkat Asia. Jaclyn Victor adalah calon terbaik bagi mewakili negara ke peringkat Asian Idol. Selain dari meraih kejayaan demi kejayaan yang gemilang selepas memegang gelaran juara ‘Malaysian Idol’ yang pertama, beliau juga telah membuktikan kepada negara dan Asia kebolehannya melalui penyertaannya di dalam Ikon Malaysia (kategori solo) baru-baru ini,” – Ketua Pegawai Eksekutif di 8TV, Encik Ahmad Izham Omar.

Jaclyn Victor bukan lagi nama asing kepada Malaysia. Selepas menjuarai ‘Malaysian Idol’ yang pertama, beliau telah menandatangani kontrak rakaman bersama Sony BMG Entertainment dan berpeluang bekerjasama dengan komposer-komposer terkenal seperti Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan dan Ajai.

Album pertama Jaclyn Victor berjudul Gemilang yang diterbitkan pada tahun 2004 telah memenangi beberapa anugerah berprestij iaitu Album Pop Terbaik dan Album Terbaik pada Majlis Anugerah Industri Muzik tahun 2005. Manakala pada tahun 2006 pula, album Inilah Jac’ dihasilkan.  Melalui album ini  kemantapan dan kekuatan vokal Jac diakui dan secara tidak langsung telah menaikkan nama Jac dipersada seni tanahair sebagai penyanyi yang mempunyai vokal  yang lantang dan menggegarkan setiap persembahan apabila turut merangkul anugerah Vokal Penyanyi Wanita Terbaik’ di majlis Anugerah Industri Muzik  tahun 2006. Terbaru, album edisi terhad Inilah Jac 2007 telah pun berada di pasaran.

Walaupun rakyat Malaysia menaruh harapan dan akan mengundi Jaclyn Victor sebagai juara Asian Idol yang pertama, kedudukan beliau agak tergugat kerana negara-negara lain menghantar peserta yang tidak kurang hebatnya. Dari India, Abhijeet Sawant, juara ‘Indian Idol’ musim pertama akan mewakili negaranya. Single pertamanya yang berjudul Mohabbatein Lutauga telah membantu menaikkan lagi namanya sehingga diberi kepercayaan untuk mengadakan konsert solo pertama di Delhi. Selain menyanyi, beliau juga turut berlakon dalam rancangan-rancangan terbitan Sony.

Negara Vietnam pula diwakili oleh juara dari musim pertama ‘Vietnam Idol’, Phu’o’ng Vy. Beliau mendapat $USD10,000 sebagai ganjaran kemenangannya dan mengikat kontrak rakaman dengan Music Faces Company. Singapura akan diwakili oleh pemenang ‘Singapore Idol’ musim kedua, Hady Mirza. Beliau dinobatkan sebagai pemenang apabila menerima 70% daripada  jumlah undian. Judul album yang menggunakan namanya sendiri ‘Hady Mirza’ dilancarkan di Singapura pada tahun 2006 dan berjaya mencapai tahap platinum dalam mana empat hari. Selain itu, beliau juga menerima dua anugerah utama di Anugerah Planet Muzik pada tahun ini. Juara ‘Philipine Idol’ musim pertama, Mau Marcelo yang telah memenangi hati seluruh rakyatnya akan mewakili Filipina.  Beliau yang terkenal dengan vokal gaya R&B juga telah memenangi kontrak rakaman bersama Sony BMG dan berjaya menghasilkan sebuah album.

Indonesia pula masih kebuntuan untuk membuat keputusan sama ada akan mewakilkan Delon Thamrin (pemenang Indonesia Idol’ musim pertama), Mike Mohede (pemenang Indonesia Idol’ musim kedua), Muhammad Ihsan Tarore (pemenang Indonesia Idol’ musim ketiga) ataupun Rini Wulandar (pemenang Indonesia Idol musim keempat). Mereka akan mengadakan satu pertandingan asing bagi memilih wakil bagi mewakili negara mereka.

Pemenang Asian Idol bukan mendapat gelaran juara Asian Idol pertama malah gelaran itu akan membawa mereka mendapat peluang hadiah berupa tajaan penuh ke mana-mana destinasi yang ditawarkan. Enam orang juri wakil dari setiap negara yang bertanding akan memberi kritik dan komen masing-masing semasa pertandingan berlangsung. Malaysia mewakilkan jurinya yang terkenal dengan komen-komen yang menyakitkan hati tetapi membina semasa ‘Malaysian Idol’ iaitu Paul Moss, yang juga merupakan seorang penerbit album yang pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini. Juri seterusnya dari Singapura pula ialah Ken Lim, seorang penerbit album, penggubah lagu dan juga pengurus artis. Sebelum ini, beliau sering-kali dikaitkan dengan Simon Cowell dari ‘American Idol’ kerana kerap-kali memberi komen-komen yang pedas dan tulus.

Filipina pula mewakilkan Pilita Corrales sebagai barisan juri yang seterusnya. Beliau gah dengan gelaran ‘Ratu Lagu Asia’ kerana telah menghasilkan lebih 135 album sepanjang kerjaya muziknya.
 
Dari Bollywood, Anu Malik, seorang pengarah muzik yang terkenal akan turut serta dalam barisan juri. Beliau sememangnya terkenal dan pernah memenangi Anugerah Kebangsaan melalui hasil kerja ‘Refugee’. Selain itu, lagu ciptaannya yang berjudul Chamma Chamma dari sebuah filem Bollywood yang berjudul China Gate turut digunakan sebagai lagu runut bunyi dalam filem Hollywood, Moulin Rouge. Juri seterusnya dari Indonesia ialah seseorang yang disegani dalam bidang muzik, Indra Lesmana. Beliau ialah seorang pemain piano muzik jazz dan juga merupakan salah seorang dari juri semasa ‘Indonesia Idol’. Juri yang terakhir pula ialah Siu Black dari Vietnam. Beliau pernah menjadi juri untuk ‘Vietnam Idol’ pada tahun ini. Sama seperti rancangan Idol yang lain, format kreatifnya adalah sama. Walaupun begitu, setiap peserta dikehendaki menyanyi sebuah lagu Inggeris dan sebuah lagi lagu dalam bahasa ibunda masing-masing kepada barisan juri.

Rancangan yang akan dipancar secara terus-menerus ke enam buah negara memberi peluang kepada para penonton untuk mengundi peserta Idol kegemaran mereka melalui SMS. Walau bagaimanapun, beberapa elemen telah diubahsuai kerana mengambil kira beberapa faktor semasa iaitu Asian Idol ialah sebuah rancangan yang berlandaskan undian secara sistem pesanan ringkas dan jumlah populasi sesebuah negara akan mempengaruhi jumlah undian.

Bagi berlaku adil kepada semua kerana mengambil kira jumlah populasi sesebuah negara, undian akan dikira mengikut peratusan dan bukannya jumlah.

Atas alasan ini, satu elemen baru telah diperkenalkan dalam sistem undian. Para penonton dikehendaki untuk mengundi dua orang peserta dari berlainan negara bagi menggalakkan berlaku adil dan menjaga kualiti pertandingan. Ini penting supaya setiap peserta bukan sahaja akan menerima undian dari negara masing-masing tetapi juga dari negara lain.

Bagi memastikan proses ini berjalan lancar, hanya undian yang mengundi dua peserta yang berbeza akan diambil kira. Walau bagaimanapun, setiap penonton bolehlah mengundi seberapa banyak kali yang mereka mahu.

Untuk mengundi Jaclyn dan mana-mana peserta kegemaran yang lain, sila taip send <jarak> nombor peserta <space> nombor peserta dan hantar ke 33776.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini dalam memberi sokongan sepenuhnya kepada Jaclyn kerana beliau kini bertanding atas nama negara. Hantar undian anda dan terus menonton 8TV pada 15 Disember 2007 pada jam 10.00 malam dan keputusan pertandingan  akan disiarkan secara langsung pada 16 Disember 2007 (10.00 malam). Selain itu, sebuah program khas yang berjudul Road To Asian Idol akan bersiaran pada 8 Disember 2007 pada jam 11.00 malam.

Untuk keterangan lebih lanjut dan maklumat-maklumat terkini, sila layari www.theasianidol.tv

[tags]asian idol, jaclyn victor, anu malik, ratu lagu asia, Delon Thamrin, Mike Mohede, Hardy Mirza, Ken Lim, juri asian idol, winner asian idol, pemenang asian idol, nama juri asian idol, lokasi tv, 8tv online, youtube footage asian idol, chamma movie, songs of the year, judges asian idol, Rini Wulandar, gossip artis singapore, mp3 asian idol[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Zarina Anjoulie Lavocah Pelakon Anak Pontianak Berparty Sakan

Teater Kanak-Kanak Aladdin Faizal Ismail & Erma Fatima di IB