Sempena Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September ini dan bagi meneruskan keraian ulangtahun ke-20 tahun penubuhannya, Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) dengan bangganya mempersembahkan konsert bertemakan Semalam Di Malaya di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada Sabtu, 15 September 2018 jam 8.30 malam dan Ahad, 16 September 2018 jam 3.00 petang.
‘SEMALAM DI MALAYA’ – MPO PERSEMBAHKAN LEGASI MUZIK TEMPATAN
Sepanjang 20 tahun kewujudannya, MPO kekal komited untuk menyajikan hanya yang terbaik dalam muzik klasikal di dewan konsert pertama yang didedikasikan untuk genre ini. Namun, MPO telah melakukan perubahan arus muzik dengan menyajikan genre muzik lain seperti pop, jazz, runut bunyi filem, tradisional dan kontemporari untuk khalayak yang lebih luas.
Konsert ini bakal menyaksikan MPO memberi penghormatan kepada ikon muzik terdahulu dalam persembahan karya klasik gubahan orkestra. Generasi lama bakal mengimbau kenangan silam melalui legasi muzik ini manakala generasi muda akan didedahkan dengan keindahan khazanah lagu-lagu lama dengan sentuhan muzik simfoni yang segar.
MPO bakal mempersembahkan lagu-lagu yang melambangkan kekayaan warisan tempatan dan membawa tema sejagat seperti cinta, pengorbanan dan harapan. Antara lagu-lagu cinta yang bakal menghiasi konsert ini ialah Airmata Berderai, Tunas Kasih dan Gadis Idaman (ciptaan Alfonso Soliano), Sayang Di Sayang dan Setangkai Kembang Melati (Zubir Said).
Karya patriotik yang akan dipersembahkan MPO ialah Tanah Pusaka (Ahmad Merican), Putera Puteri (Jimmy Boyle), Perajurit Tanah Air dan Berjaya (Saiful Bahri).
Konsert ini juga akan disemarakkan dengan lagu-lagu malar segar seperti Ibu dan Jelingan Manja (Ahmad Jaafar) dan karya ciptaan P Ramlee seperti Hujan Di Tengahari dan Joget Malaysia.
Kesemua lagu ini mendapat sentuhan penggubah-penggubah muda seperti Leonard Yeap, Luqman Aziz, Syed Sharir Faisal Syed Hussain, Jenny Chin dan Vivian Chua.
Konsert ini akan diserikan artis-artis tempatan tersohor seperti Aishah, Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio yang akan mempersonakan hadirin dengan lontaran vokal yang gemersik.
Sebelum ini, MPO pernah berkolaborasi dengan Musly pada tahun 1999 dan Aishah pada tahun 2009 di DFP manakala Rachel, yang juga merupakan cucu Alfonso Soliano, pernah mengadakan sebuah konsert jazz secara solo di pentas yang sama pada tahun 2010. Ini merupakan kolaborasi pertama MPO dengan Liza Hanim.
Konsert Semalam Di Malaya akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose. Konsert ini merupakan kelangsungan siri konsert muzik tradisional persembahan MPO di DFP selepas Irama Warisan Kita (2009), Keroncong Merdeka (2012) dan Malaysia Tanah Airku (2014) yang mendapat sambutan baik dari penggemar muzik tempatan.
Layari kenangan silam bersama MPO melalui seleksi muzik klasik malar segar dalam konsert istimewa ini, hanya di DFP!
Maklumat Konsert
Tarikh
Sabtu, 15 September 2018 jam 8.30 malam
Ahad, 16 September 2018 jam 3.00 petang
Tempat
Dewan Filharmonik PETRONAS, Menara Berkembar PETRONAS
Orkestra/Konduktor/Vokalis
Orkestra Filharmonik Malaysia
Ahmad Muriz Che Rose konduktor
Aishah vokal
Liza Hanim vokal
Musly Ramlee vokal
Rachel Guerzo Trio vokal
Harga Tiket
Premium: RM358, A Reserve: RM254, B Reserve: RM198, C Reserve: RM141
Box Office
Selasa hingga Sabtu:10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam pada hari konsert
Ahad: 12.00 tengahari hingga ke waktu persembahan
(Tutup pada hari Isnin dan hari cuti umum kecuali jika ada konsert yang dijadualkan)
Tempahan Telefon: 03-23317007
Tempahan Email: [email protected]
Laman Web MPO: www.mpo.com.my
Facebook: fb.mpo.com.my
Instagram: @malaysianphilharmonicorchestra