Minggu kedua Super Spontan Xtravaganza membawa sedikit kelainan apabila menyaksikan tempat Dato’ AC Mizal selaku pengacara telah digantikan (untuk minggu kedua sahaja) oleh juara Super Spontan Superstar 2017, Kamal Adli.
Suasana bertambah gamat dengan kehadiran duo popular, Johan dan Zizan atau dikenali sebagai Jozan, yang memanaskan kerusi juri. Turut memeriahkan permainan spontan minggu lalu adalah Ozlynn dan Khir Rahman selaku pemain jemputan.
Dalam kemeriahan tersebut, kumpulan Lobster Leleh terpaksa pasrah melepaskan seorang pemainnya, Jaa Suzuran apabila kumpulan yang diketuai oleh Reza Zainal itu sekali lagi mendapat undian terendah pada minggu kedua.
Nampaknya, kumpulan Sotong Kangkung semakin mengukuhkan corak permainan lawak spontan mereka untuk terus memikat hati juri dan penonton. Pastinya Lobster Leleh menggalas cabaran yang lebih besar untuk mengubah nasib mereka pada minggu ini. Mampukah mereka? Sama-sama kita saksikan.
Siaran Langsung Super Spontan Xtravaganza (Minggu Ketiga) pada 3 Ogos 2018 (Jumaat), di Panggung Percubaan, UPM, Serdang.