I Can See Your Voice Malaysia!
Berunsurkan konsep dan format rancangan asal dari Korea Selatan oleh CJ E&M, kini tiba I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) versi Bahasa Malaysia bermula 4 Ogos 2018 pada setiap hari Sabtu, pukul 8.30 – 10.00 malam hanya di ntv7!
ICSYVMY menggandingkan Shuk Sahar dan Alvin Chong sebagai hos dan penyiasat tetap ialah Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul. Setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan diundang untuk memeriahkan lagi suasana di set ICSYVMY. Tugas para penyiasat adalah untuk membantu artis jemputan mendedahkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang.
Setiap episod, enam orang penyanyi misteri akan diperkenalkan, dan artis-artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang pada setiap pusingan. Terdapat empat pusingan dalam rancangan ICSYVMY:
Pertama : Penyanyi misteri beraksi kaku di atas pentas, dan artis jemputan akan meneliti penampilan penyanyi misteri dan mendengar rakaman suara berdurasi 0.3 saat dalam klip pengenalan untuk mengenal pasti individu yang menyamar.
Kedua : Penyanyi misteri akan lip sync dan artis jemputan perlu mengenal pasti dan menyingkirkan dua orang penyamar di dalam pusingan ini.
Ketiga : Tiga ahli penyiasat dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan seorang penyanyi misteri. Mereka diberi peluang untuk mendengar secara individu rakaman suara sebenar penyanyi misteri. Artis jemputan perlu membezakan benar atau bohong berdasarkan penerangan ahli penyiasat dan akan diberi masa 100 saat untuk berbincang dengan ahli penyiasat dan penonton sebelum membuat keputusan.
Keempat : Artis jemputan diberi peluang selama 10 saat untuk bertentang mata dengan dua penyanyi misteri yang terakhir, dan buat penentuan siapa yang bakal menyanyi bersama beliau.
“Rancangan ICSYV ini bukan sahaja berkonsepkan hiburan, ia juga merupakan tempat untuk mereka yang tidak boleh menyanyi dan bersuara sumbang untuk memenangi sesuatu. Kerana sambutan hangat dalam versi Bahasa Mandarin yang kini sudah memasuki musim kedua di 8TV, kami yakin yang versi Bahasa Malaysia ini akan mendapat sambutan khalayak ramai,” kata Puan Zurina Othman, Pengurus Besar, Pengurusan Jenama, Integrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad.
“Malahan kami juga menyediakan platform kepada penyanyi sebenar menerusi Showcase ICSYVMY.” tambah Puan Zurina Othman.
Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan di mana beliau akan mendedahkan suara sebenar. Jikalau penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, beliau akan sertai Showcase ICSYVMY. Namun, jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyamar, beliau akan membawa pulang RM3, 000.
Rancangan yang ditaja oleh Power Root – Ali Café, A.K. KOH – A1 Suhun dan Jin Bin Corp. – HURIX ini diwarnai dengan wajah artis-artis jemputan kegemaran ramai. Antaranya, Cakra Khan, Pasha Ungu, Virgoun, Wany Hasrita, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black, dan De Fam.
Ingin ketahui siapa penyanyi sebenar dan penyamar bersuara sumbang? Saksikan ICSYVMY yang bakal menemui penonton bermula 4 Ogos 2018 pada setiap hari Sabtu, pukul 8.30 – 10.00 malam hanya di ntv7!
Anda juga boleh ikuti rancangan ICSYVMY di portal video tonton dan ketahui perkembangan terkini di laman sosial Facebook, Instagram & Twitter; ntv7Malaysia dan jangan lupa tanda pagar #ICSYVMY di laman sosial media anda!