in

AirAsia Rai Sedekad Kejayaan Terbaik Dunia

LONDON, 17 Julai 2018 – AirAsia telah diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali kesepuluh berturut-turut.

AirAsia memenangi anugerah tersebut di Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2018, yang berlangsung pada hari ini di The Langham, London.

Dikenali sebagai “Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan”, Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 20.36 juta tinjauan pelanggan yang dilakukan di lebih 105 negara, mengukur piawaian merentas 49 petunjuk prestasi utama produk dan barisan depan khidmat pelanggan bagi syarikat penerbangan.

AirAsia

(Dari tengah ke kanan) Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perniagaan Penerbangan) Bo Lingam bersama-sama Allstars (kakitangan AirAsia) di majlis Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax 2018.

Pengasas Bersama AirAsia, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun menerima anugerah tersebut di London bersama beberapa orang AirAsia Allstars yang telah lama berkhidmat di rantau ini.

Empat AirAsia Allstars yang terpilih adalah Pemangku Ketua Operasi Lapangan Terbang Ahmad Bin Ismail dari Malaysia (yang telah berkhidmat selama 17 tahun), Pembantu Pengurus Kru Kabin Robert Anthony Gutierrez dari Filipina (yang telah berkhidmat selama 7 tahun), Ketua ICT Pipat Khunprakan dari Thailand, kakitangan pertama AirAsia Thailand (yang telah berkhidmat selama 15 tahun) dan Pembantu Pengurus Perkhidmatan Penghantaran Penerbangan Koji Kaneko yang menghantar penerbangan pertama AirAsia Jepun (yang telah berkhidmat selama 4 tahun).

Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Saya berbesar hati untuk meraikan kejayaan sedekad kami pada hari ini dengan Allstars yang telah bersama-sama kami sejak dari awal. Perasaan ini tidak dapat digambarkan. Saya masih tidak dapat melupakan perasaan sewaktu kami dinamakan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat pertama kali sepuluh tahun yang lalu dan saya tidak menyangka bahawa kami akan mengekalkan anugerah ini selama satu dekad. Terima kasih kerana sokongan luar biasa anda. Kami akan terus memperjuangkan tambang rendah dan berharap dapat mengubah lebih banyak kehidupan para tetamu kami.”

AirAsia X juga telah diiktiraf sebagai Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun keenam berturut-turut. Anugerah tersebut diterima oleh Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz bagi pihak AirAsia X.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, “Sebarang kejayaan dan pencapaian oleh Kumpulan AirAsia dan Kumpulan Asia X adalah sumbangan daripada setiap Allstar. Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan tahap kecekapan dan prestasi mereka supaya AirAsia dapat mengekalkan status bertaraf dunia ini dalam industri penerbangan serantau dan global yang amat berdaya saing. Kami berharap semua kakitangan kami berusaha untuk menjadi aset kepada Kumpulan AirAsia dan Kumpulan AirAsia X. Tahniah Allstars!”

AirAsia juga dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia, yang diterima oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Peniagaan Penerbangan) Bo Lingam yang menyertai AirAsia pada tahun 2001 sebagai Pengurus Operasi Lapangan Terbang.

Bo Lingam berkata, “Selama tujuh belas tahun berkhidmat di AirAsia, saya telah menyaksikan bagaimana AirAsia telah merealisasikan impian lebih daripada setengah bilion orang, terutamanya di Asean. Kami telah menghubungkan mereka ke pelbagai destinasi, menawarkan pekerjaan di rantau ini, mengembangkan perniagaan kecil, dan menyumbang kepada sektor pelancongan di Asean serta banyak lagi. Semua inilah yang menjadikan perjuangan kami sungguh bernilai.”

Kemenangan ini diraikan dengan semangat One AirAsia di seluruh pejabat kumpulan AirAsia di Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, Bangalore dan Nagoya, dengan persembahan interaktif yang disiarkan secara langsung di laman Facebook AirAsia.

AirAsia juga meraikan kejayaan ini di beberapa lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok dari 17 hingga 22 Julai, dengan kios foto yang dilengkapi pas masuk dan peluang untuk memenangi tiket ke destinasi AirAsia impian mereka.

Sebagai sebahagian daripada sambutan itu, AirAsia akan menawarkan tambang rendah bermula 23 hingga 29 Julai 2018 di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia. Para tetamu juga berpeluang untuk memenangi penerbangan percuma selama satu tahun* dengan menyertai pertandingan #WeAreAllChampions di laman media sosial kami. Untuk maklumat lanjut, layari laman Instagram kami (instagram.com/airasia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).

*Tertakluk kepada terma dan syarat

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Zahirah MacWilson & Keda’Z di Pelancaran OPPO Find X

Lagu Guns N ‘Roses Meraih Sebilion Tontonan di YouTube