ZAMAN sekarang, baju raya di pasaran boleh dikatakan agak mahal sehingga membuatkan ramai orang pening kepala untuk pilih busana raya yang bersesuaian dan dalam masa sama tidak bazir.
Oleh itu, penyanyi lincah Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam; telah mengambil inisiatif dengan cara menjahit baju raya sendiri termasuklah untuk dirinya, suami dan kedua-dua anaknya.
Menurut Stacy ketika dihubungi oleh pihak Harian Metro memberitahu bahawa sejak April lalu, dia sudah giat mempelajari cara untuk jahit menerusi YouTube dan buku jahitan.
“Ini semua atas permintaan Akim, selepas saya menjahit sendiri baju anak pada Pesta Kaamatan yang disambut April lalu.
“Sejak itu, dia minta saya buat lagi untuk baju raya. Jadi, dia belikan saya mesin jahit lengkap dengan mesin jahit tepi.
“Nak tak nak, saya kena buat. Apatah lagi, dia sudah beli kain. Saya ingat sepasang, tetapi dua (pasang). Kalau sudah pakar, tidak mengapa. Sekarang jahitan pun belum kemas dan ada yang kena buka semula,” katanya.
Malah, Stacy turut mula menjahit sejak awal bulan ini serta berharap agar busana mereka dapat disiapkan sebelum pagi raya nanti.
Disebabkan suaminya, Akim Ahmad merupakan seorang yang sangat teliti, dia pasti akan memeriksa jahitan yang dilakukan oleh Stacy.
Jika ada jahitan yang tidak kemas, Akim akan menyuruh Stacy membuka jahitan itu dan memperbetulkan semula supaya ia kelihatan kemas.
Bagaimanapun Stacy mengakui bahawa kerja menjahit bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
“Pada mulanya, ia jadi minat baru. Tetapi, selepas melalui proses ini, saya terus jadi malas. Saya selalu berseloroh dengan Akim mengenai perkara ini, tapi dia cakap kena juga berusaha sebab saya sudah mula dari awal,” ujarnya lagi.
Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Cakap Ke Tangan itu turut ‘berperang’ untuk menghasilkan kuih raya antaranya ialah biskut Makmur, Tat Nenas dan Semperit.
Mujur Ramadan tahun itu Stacy tidak terikat dengan mana-mana projek, jadi dia berpeluang untuk menghabiskan masa bersama keluarga serta mempelajari sesuatu yang baharu di rumah.
“Bukan saja menjahit, tapi juga buat kuih. Ia lebih kepada suka-suka. Semuanya belajar sendiri. Apa yang kelakar, ada kuih yang sudah siap dan habis dimakan. Jadi, kena buat lagi,” tambahnya.