Bertahun-tahun bercinta namun tak jadi kahwin sebab saudara susuan? Pernahkah anda mendengar kisah begini atau anda sendiri yang mengalaminya? Realitinya ia berlaku dalam masyarakat kita dari dulu hingga kini. Hakikatnya situasi ini tidak boleh dipandang remeh. Perkara ini kena dipelihara kerana hubungan sesama saudara susuan jatuh seperti adik-beradik kandung kerana susuan itu.
Plot kisah ini dikongsikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam telemovie bertajuk “Daffodil Lara” disiarkan pada 1 Jun ini, pukul 9.30 malam mengisi slot Citra di TV2. Ia menampilkan gandingan pelakon Amyra Rosli, Hafeez Mikail, Amar Baharin, Nabihan dan Marissa Yasmin.
Kisahnya bermula dengan memperkenalkan wata utama iaitu Lara yang menguruskan sebuah kafe milik ibunya, Jane di Cardiff. Sementara itu Hairi yang merupakan seorang pelajar di sebuah universiti juga bekerja sambilan di tempat yang sama.
Berada jauh di negara orang membuatkan dua sahabat ini, Hairi dan Lara banyak meluangkan masa bersama dan saling memahami. Apa sahaja dikongsikan bersama keduanya termasuk suka dan duka. Lara sentiasa memerlukan Hairi dan begitu juga sebaliknya.
Keakraban itu membuatkan dalam diam Hairi menaruh hati pada Lara. Dia berharap Lara sudi menerima dirinya sebagai kekasih. Namun sebaliknya pula bagi Lara. Lara sering mengelak apabila Hairi berbicara tentang hati kerana sejarah sedih kematian kekasih serta ayahnya. Kesedihan itu membuatkan dia belum sedia menerima lelaki lain dalam hidupnya.
Namun segalanya berubah selepas itu apabila perkenalan Lara dengan Ilham mula membuka pintu hatinya. Lara dengan mudah membuka hati untuk menerima Ilham yang jatuh hati kepadanya.
Pertemuan dengan Jane telah merungkai rahsia besar yang tidk diketahui dan dirahsiakan selama ini. Ilham merupakan anak susuan Jane dari usia bayi sehingga berumur 2 tahun. Begitu pun keluarga mereka terputus hubungan dan Ilham berkongsi kisah keluarganya. Dari situlah Jane dapat kembali mengingati dia pernah menjadi ibu susuan Ilham.
Masing-masing kecewa dengan berita tersebut. Berat untuk Lara dan Ilham menerima hakikat mereka saudara susuan. Begitu juga dengan Jane yang terpaksa menerangkan kebenaran. Mengecewakan Lara bermakna dia turut sama kecewa kerana menyedari perubahan positif Lara sepanjang menjalin hubungan dengan Ilham.
Lalu apakah penyudahnya? Bagaimana pula dengan Hairi yang sentiasa berharap hubungannya dengan Lara akan bersatu? Saksikan telemovie arahan Rahila Ali terbitan Pena Creative Sdn Bhd ini di TV2.