SEORANG pemuda menghadapi detik mencuit hati apabila dia dikatakan tersalah masuk sebuah kereta yang disangka GrabCar sebelum sedar ia rupa-rupa kereta kepunyaan orang lain.
Lebih menariknya lagi, difahamkan bahawa kereta berkenaan sebenarnya dimiliki oleh pelantun lagu popular, Di Mata Mu iaitu Sufian Suhaimi! Wahhh!
Perkara ini telah dikongsi sendiri oleh seorang pengguna akaun Twitter bernama @bulanibnarhman yang mengakui kesilapannya memasuki kenderaan, namun terkejut apabila menyedari pemandunya ialah Sufian.
“Saya fikir ini adalah GrabCar yang saya tempah dan ia adalah pengajaran buat saya daripada Allah tapi hey…teka siapa pemandunya. Ia Sufian Suhaimi!” tulis pemuda itu di Twitter pada Selasa.
Ujar pemuda itu lagi, kecuaian itu berpunca daripada sikapnya yang berasa terlalu yakin.
Malah, lebih mencuit hati lagi apabila pemuda berkenaan memberitahu bahawa dia telah meletakkan bagasi yang dibawanya ke dalam kereta Sufian.
Selepas menyedari kesilapan itu, pemuda itu bagaimanapun tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama penyanyi berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Sufian turut berkongsi insiden mencuit hati tersebut menerusi sebuah entri yang dimuat naik di laman Twitter miliknya.
Sufian berkata, ketika insiden berlaku dia sedang bermain telefon sambil menunggu masa berikutan dia sampai lebih awal di sebuah lokasi daripada yang dijanjikan.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba seorang pemuda memasuki kereta miliknya dan duduk di tempat duduk belakang dengan yakin.
“Saya sedang bermain telefon di dalam kereta untuk buang masa. Saya sampai awal sejam daripada masa ditetapkan. Kemudian lelaki ini dengan yakin buka pintu belakang kerana sangka saya pemandu Grab,” ujar Sufian.
Ternyata perkongsian-perkongsian tersebut mendapat perhatian dalam kalangan netizen mengakui terhibur dengan gelagat pemuda itu.
Pun begitu, terdapat juga segelintir netizen berpendapat Sufian perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang dan mengunci keretanya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.