MENJELANG perkahwinan diraja Britain di antara Putera Harry, dan Meghan Markle hujung minggu ini, pasangan itu dikejutkan dengan berita bapa pengantin perempuan tidak akan menghadiri majlis itu.
Ini selepas bapa aktres itu, Thomas Markle mengalami serangan jantung selepas berdepan gangguan emosi berikutan konflik yang timbul mengenai perjanjiannya dengan agensi paparazzi.
Lapor TMZ, Thomas telah dibayar satu agensi berita untuk membenarkan gambar-gambar gelagatnya menjelang perkahwinan itu diambil dan disebarkan.
Thomas juga mengakui perkara itu dengan mendedahkan bahawa dia bersetuju untuk gambarnya diambil seolah-olah ianya kelihatan candid walhal ianya telah dirancang lebih awal.
Antara gambar-gambar yang tersebar termasuklah gambar Thomas melihat peta Britain, gelagatnya mencari informasi mengenai Meghan dan Putera Harry dalam talian dan juga gambarnya mencuba sut yang akan digunakan pada majlis itu.
Jelas Thomas, paparazzi telah mengganggunya untuk beberapa minggu yang menyebabkan dia menerima tawaran sebuah agensi foto bagi meningkatkan reputasinya.
Justeru, Thomas yang berusia 73 tahun telah mengambil keputusan mengejutkan untuk tidak menghadirkan diri ke majlis perkahwinan anaknya itu dengan alasan tidak mahu memalukan Meghan di khalayak ramai.
Thomas juga sepatutnya berjalan mengiringi Meghan di majlis perkahwinan berkenaan dan tindakannya itu telah menyebabkan timbul persoalan siapa yang akan mengiringi Meghan nanti.
Menerusi kenyataan dari Istana Kensington, United Kingdom, Meghan dan Putera Harry meminta orang ramai untuk menghormati dan memahami situasi yang sukar untuk Meghan itu.
Spekulasi dari media antarabangsa kini timbul mengatakan bahawa ibu Meghan, Doria Radland akan menggantikan tempat Thomas untuk mengiringi Meghan ketika majlis perkahwinan itu nanti.
Keputusan Thomas untuk tidak menghadirkan diri itu dibuat hanya beberapa jam selepas kakak tiri Meghan, Samantha Grant mengaku bertanggungjawab ke atas perjanjian dengan agensi foto itu.
Ujar Samantha, kontroversi yang terjadi melibatkan bapanya itu merupakan ideanya dan semua itu dilakukan bagi menunjukkan sisi positif Thomas selepas beberapa gambar tidak senonoh diambil oleh paparazzi sebelum itu.
Meghan dan Putera Harry bakal melangsungkan perkahwinan di Istana Windsor, United Kingdom pada 19 Mei ini.