Khas meraikan sambutan Hari Ibu pada 10 Mei ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyajikan sebuah telemovie menarik bertajuk “3 Hati Ibu” khas untuk tontonan seisi keluarga. Menemui penonton pada 13 Mei, pukul 10.05 pagi mengisi slot Panggung Ahad.
Menampilkan pelakon Azlee Khairi, Zara Zya, Ku Faridah, Fadilah Mansur, Maimunah Ahmad, Keena Mentor, Ridzuan Hashim, Noralbaniah dan Buzen Hashim. Mengangkat kisah antara ibu dan anak saling berkorban ego masing-masing asalkan tidak menyakitkan hati sesama mereka. Nyata sikap ini sewajarnya dicontohi masyarakat kita dalam menghindari gejala negatif yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita.
Mengetengahkan watak seorang wanita separuh abad bernama Hajah Wan Som mahu menjodohkan Razman, anaknya dengan Atiqah, di masa yang sama Razman sudah ada pilihan hatinya iaitu Zaidah.
Hubungan Razman dengan Zaidah direstui ibu Zaidah, Datin Fatihah yang sedang di rawat kerana kanser payu dara. Datin Fatihah mahu mereka disatukan sementara dia masih ada. Di masa yang sama hanya Zaidah sahaja dalam keluarga yang tahu ayahnya Datuk Helmi telah lebih setahun berkahwin satu lagi dengan Zulaika iaitu sejak Datin Fatihah sakit.
Razman membawa Zaidah, gadis bandar yang moden ke kampungnya untuk menambat hati ibunya. Melalui Atiqah, Zaidah belajar menjadi wanita solehah, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum ini.
Hajah Wan Som mula tertarik dengan Zaidah dan mula mengetepikan Atiqah. Mat Tam, ibu Atiqah mula melarang Atiqah ke rumah Hajah Wan Som setelah tidak tahan dengan cakap orang kampung yang menuduh dia mahu ‘menjual anak’. Malah Atiqah sendiri sedar dia bukan lagi calon menantu yang disukai oleh Hajah Wan Som.
Akhirnya, Atiqah tidak lagi ke rumah Hajah Wan Som. Kerana tidak mahu di tuduh perigi mencari timba, Atiqah ditunangkan dengan Salleh dan Zaidah menerima berita ibunya meninggal kerana menderita penyakit barah payu dara.
Di hadapan Hajah Wan Som, Zaidah menolak Razman sebagai calon suaminya kerana tidak dapat menunaikan hajat ibunya mahu dia bersanding sebelum menghembus nafas terakhir. Razman terkejut dan menuduh Zaidah mempermainkan cintanya. Zaidah juga tuduh Razman mengkhianati cinta Atiqah sedangkan mereka sudah berjanji untuk bersama.
Hajah Wan Som menyesal kerana terlalu memilih calon menantu. Tetapi Zaidah berterima kasih kerana Hajah Wan Som dan cintanya yang sementara pada Razman telah menukar dirinya menjadi seorang wanita solehah. Malah dia amat berterima kasih kepada Atiqah.
Zaidah telah menemui Salleh, seorang ahli perniagaan, tunang Atiqah dan mahu dia tinggalkan Atiqah. Dia akan bayar berapa sahaja yang Salleh mahu. Salleh setuju tetapi dengan satu syarat. Dia sanggup lepaskan Atiqah tetapi Zaidah mesti berkahwin dengannya.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.