SOSEH SOSEH: Artis ‘dah togel’
KAKAK saudara SS, Kak Senah yakin dia tidak salah tengok orang kerana usia Kak Senah bukanlah tua sangat. Belum pakai cermin mata pun. Tetapi lamalah juga dia menggosok matanya yang tak sakit itu untuk memastikan apa yang dia tengok itu benar dan sahih.
Sebenarnya dia tidak terkejut melihat perubahan pelakon yang membintangi drama itu dari bertudung ‘dah togel’ kepala dengan rambut mayang mengurai. Cuma dia hendak memastikannya saja. Dia juga memerhatikan dengan teliti pelakon lelaki yang berlakon bersama artis wanita itu.
Mereka digandingkan sebagai pasangan suami isteri. Dia juga yakin benar yang pelakon lelaki itu artis baru kerana ketika artis wanita itu mengecapi zaman kegemilangannya sebagai pelakon drama, pelakon lelaki itu belum muncul dan masih hingusan lagi. Sahlah, ia drama baru dan artis wanita itu memang membuka tudungnya.
SS pun tak kisah siapa nak pakai tudung dan kemudian membukanya semula. Alasan yang selalu SS dengar, susah cari makan dengan imej bertudung. Kononnya pengarah dan penerbit tidak mahu ambil berlakon kecuali kalau buka tudung.
Musykil juga SS, takkan artis itu tidak percaya kepada rezeki Allah SWT. Jika dia terus menjaga penampilannya dan berdoa kepada Yang Esa, pasti Allah akan memberikan kebaikan kepada setiap hamba-Nya. Apa yang SS perhatikan, artis kelihatan ayu ketika bertudung dan nampak macam orang tak betul apabila dia membogelkan kepalanya semula. Penerbitan drama tanah air sekarang semakin berkembang dan banyak sekali watak yang disediakan.
Jadi tak perlulah buka tudung untuk dapat peluang berlakon kerana pengarah dan penerbit sekarang semakin terbuka pemikiran mereka. Begitu juga dengan peminat yang semakin menghormati dan menyanjungi tinggi artis bertudung. Malah SS tengok sekarang, semakin banyak diterbitkan drama bercorak dakwah yang memerlukan artisnya bertudung untuk menjiwai watak.
Ayu Raudhah yang cantik jelita itu pun sekarang bukan main laku lagi pegang watak wanita bertudung dalam setiap lakonannya. Apapun hati kena baik. Mintalah pada-Nya nescaya dia akan meringankan beban hamba-Nya dan jangan sesekali melanggar perintah-Nya. Wallahualam. [Harian Metro]