in

Keunggulan Puitisme Dalam Nada Puitika

Menemukan kata-kata yang indah adalah impian semua penulis dan pengarang namun menterjemahkannya kata-kata kepada nada-nada yang indah adalah tugas ditingkat yang berbeza.

Di Malaysia kita menemukan ramai pengarang yang telah melahirkan karya berstatus magum opus, bagaimanapun untuk mengentrepetasikan mahakarya itu kepada khayalak, tidak semua pengarang mampu mempersembahkannya.

Puitika; kata-kata yang indah yang dinadakan dan nada-nada yang indah itu harus dipersembahkan bukan hanya dengan bacaan puisi tapi dalam gaya persembahan yang berskala luar dari kebiasaan.

Senada dengan tanggapan itu, sekali lagi produksi Meja Poedjangga membawakan konsep muzikalisasi puisi kali ke tiga kali ini dengan nama Festival Nada Puitika yang meletakkan sejumlah penyair dan seniman belia bukan lagi dalam acara baca puisi tetapi ke tingkat seterusnya iaitu persembahan muzikalisasi puisi.

Meski selepas kejayaan mengadakan Konsert Puitika Pujangga di Istana Budaya pada April dan Puitika Penang pada November 2017, terma muzikalisasi puisi masih suatu yang sukar difahami oleh banyak pandangan kerana kekurangan aktiviti mementaskannya.

Justeru, tidak sedikit yang beranggapan muzikalisasi puisi ini adalah sebuah pertunjukkan teater. Meskipun ada nuansa fragmen lakonan di dalamnya, muzikalisasi puisi yang dianjurkan ini boleh ditafsirkan sebagai sebuah persembahan gabungan puisi, muzik, tarian, fragmen lakonan dan lukisan catan secara langsung. Semua elemen ini disatukan untuk membuahkan rasa yang saling menyirat antara pelbagai cabang seni itu menjadi satu.

Lari dari kebiasaan, festival yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia Kuala Lumpur (MaTiC, KL) ini membawa wajah dan semangat baharu dengan gabungan Umar Uzair sebagai teraju utama bersama deklamator nasional Lin Haslinaz dan Shirley Idris serta deklamator terkenal Indonesia, Rois Rinaldi.

Mengindahkan lagi festival ini ialah Anak Kayan, gitaris Athan 6th Sense dan Bratz & Co yang merupakan perkumpulan selebriti tukang gunting terdiri daripada lima orang anak muda yang menggerakkan aktiviti seni guntingan rambut secara profesional.

Bratz & Co memulakan Festival Nada Puitika pada petang 31 Mac 2018 itu dengan acara Di Balik Bangku Tukang Gunting (DBBTG) yang menghimpukan sejumlah pencinta seni gaya rambut seluruh negara. Berlangsung di Amphitheater Matic KL, DBBTG menterjemahkan didikan cara guntingan rambut dari presepsi belia dan potongan-potongan segar sezaman ini.

Yean, Zhaf, Chessy dan Che Aidil masing-masing menunjukkan kepakaran dalam bidang penggayaan rambut lelaki. Sesuai dengan citra Nada Puitika yang ingin menyuntik semangat moden, Di Balik Bangku Tukang Gunting berjaya mencuri perhatian dari pelbagai golongan penonton.

Keterujaan yang dimulakan sejak petang, bersambung di sebelah malam dengan Konsert Nada Puitika yang membuka panggungnya dengan persembahan Orkestra Tradisional Pahang – Anak Kayan membuka panggung dengan lagu Tebang Tebu yang penuh pesona muzik rakyat Pahang dan semangat Nusantara sebelum Deklamator Kebangsaan, Lin Haslinaz mengalihkan perhatian penonton kepadanya dengan kemegahan deklamasi dan aksi pentas melalui puisi Mentera Sang Rama-Rama tulisannya yang penuh dengan abstrak mengenai perjalanan dan siku-liku kehidupan seorang wanita. Umar Uzair kemudian muncul dibalik tirai dengan rangkaian lagu-lagu puisi – Cenderawasih, Pintalah Aku Ke Sana dan Miliki Kau yang merupakan cakupan dari kumpulan puisinya.

Tampil eksotis dengan busana jaket batik warna gandaria songket rona sepadan, Uzair menyelitkan perbualan mengenai kaitan puisi dalam lagu.

Kemunculan Shirley Idris persis Puteri Perak dengan puisinya Ada karya Sasterawan Negara Dato’ Dr Kemala mencuri perhatian penonton dengan olahan persembahan yang semakin matang. Muncul dari tangga kerusi-kerusi penonton ternyata gimik yang tidak pernah gagal.

Terbang dari Banten, Indonesia, Rois Rinaldi seperti menyempurnakan siri deklamasi dalam muzikalisasi puisi kali ini. Puisinya Ziarah Nawawi dipersembahkan dengan iringan nada suara latar jawa membangkitkan aura keterujaan terhadap pembacaan seorang deklamator.

Bratz & Co yang menangguhkan kesenian guntingan rambut pada petang, menampilkan fragmen lakonan yang segar tentang kehidupan seorang tukang gunting dari hanya sebagai cita-cita kepada penggunting rambut jalanan sehinggalah babak mencipta nama sebagai seorang tukang gunting.

Lari dari kebiasaan sebuah acara puisi, fragmen lakonan ini disegarkan dengan penceritaan yang tidak berkaitan dengan dunia kepuisian tetapi kekal dengan citra puitis seorang tukang gunting yang tetap memiliki kuasa kesenian untuk mengindahkan mahkota kepala seseorang sehingga melahirkan keyakinan dari dalam.

Pergerakkan-pergerakkan yang ditafsirkan oleh Bratz & Co kemudiannya disulap dengan penampilan kedua Anak Kayan melalui lagu Seloka Pak Kaduk. Muncul dengan persalinan kedua jaket batik berwarna gelap malam tajaan Batek by Rasta Rashid, Umar Uzair yang juga Pengarah Festival Nada Pujangga kemudiannya mempersembahkan Bulan Sendiri, Hasrat Sang Enggang dan Yang Aku Mahu yang dimainkan secara akustik oleh Athan 6ixth Sense dan seruling oleh Ikhwan Ismail.

Malam penuh nada-nada indah itu ditutup dengan kemunculan gabungan ketiga-tiga deklamator Lin Haslinaz, Shirley Idris dan Rois Rinaldi yang membawakan puisi Akulah Tsunami Itu, Para Pewaris dan Bahasa Bertamsilkan Dosa.

Nada Puitika merupakan simbolisme keberanian para penggiatnya yang datang dari golongan belia dan setia dengan perjuangan meski tanpa sebarang penajaan kewangan yang khusus dari pihak berwajib. Ia merupakan inisiatif yang amat tinggi oleh golongan seniman belia yang wajar disokong oleh semua pihak.

Seperti kata Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia Encik Zain Azrai, “Matic mendukung penuh penganjuran Nada Puitika kerana usaha seumpamanya amat jarang diadakan kecuali kali terakhir tiga tahun lalu”.

Meja Poedjangga Malaysia yang berdiri sendiri dalam penganjuran ini telah menjayakan sebuah acara yang gemilang, penuh pancawarna dalam seni yang bermutu tinggi sebagai hadiah kepada masyarakat dan anak watan selain berharap lebih banyak pihak yang prihatin terhadap penganjurannya.

Produksi Puitika juga sedang merencana membawanya ke beberapa buah institusi di dalam negara selain akan mementaskannya sekali lagi lagi dalam Konsert Puitika Pujangga ASEAN pada 2020 sempena Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Stephen Chow Kembali Ke Sekolah Dalam Fight Back To School

Aksi Sukan Berbasikal Dalam Program AKSI RODA