Saksikan telemovie “Jangan Ganggu Pak Su” yang mengangkat kisah seorang orang kurang upaya, OKU lembam yang terlalu dimanjakan oleh ibubapanya sehinggakan dia tidak mampu berdikari. Kini pasangan ibubapa itu telah tua dan mereka mula risau, bagaimanakah keadaan anak OKUnya setelah mereka mati? Apakah anak-anaknya yang lain sanggup memikul tanggungjawab menjaga adik yang bersifat OKU, memahami sikapnya dan memberikan keperluan kewangan?
“Jangan Ganggu Pak Su Papar Kisah OKU Cuba Berdikari di TV1
Telemovie arahan Napi Dollah ini mengisi slot Panggung Seri di TV1 pada 7 April ini, pukul 9.00 malam. Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Normah Damanhuri, Ramli Saleh, Roslan Salleh, Wan Sharmila, Ayuna Yusof, Puteri Adrianna dan Mohd Hady.
Menceritakan tentang seorang lelaki OKU ‘lembam’, Akmar Danial, dipanggil Pak Su oleh anak- saudaranya, orang kampung dan kanak-kanak kampung yang nakal. Akmar Danial adalah anak bongsu Seman dan Lijah yang mempunyai adik-beradik iaitu Latifah, Kamarul, dan Mustafar. Permasalahan yang menjadi tekanan pada Seman dan Lijah, siapakah yang akan menjaga Akmar Danial setelah mereka berdua mati?
Ketiga-tiga anak mereka yang lain sibuk dengan urusan keluarga dan peribadi masing-masing. Latifah lebih mengutamakan perniagaan dan membantu suaminya. Dia tidak mahu menjaga Akmar Danial yang disifatkan sebagai tidak pandai berdikari. Manakala Kamarul yang tinggal di Kuala Lumpur jarang pulang ke kampung setelah anaknya digigit Akmar Danial. Isteri Kamarul tidak suka pada Mustafar yang selalu meminjam duit daripada Kamarul tapi tidak pernah berganti.
Mustafar pula menganggap sikap Akmar Danial yang cerewet dan sukar diajar menyusahkan hidupnya. Dia membenci Akmar Danial. Sebaliknya tunang Mustafar, Mislina melayan bakal abang iparnya itu dengan baik. Dia juga kurang senang dengan perangai Mustafar yang boros dan suka meminjam duit orang. Malah kerana sikap lewanya itu dia menangguhkan perkahwinan mereka.
Lijah dan Seman mahukan anak-anaknya pulang ke kampung dan merapatkan hubungan dengan Akmar Danial. Bagi anak-anaknya pula, mereka menyalahkan Seman dan Lijah kerana terlalu menyayangi Akmar Danial sehinggakan Akmar Danial tidak mampu berdikari.
Kamarul akhirnya lembut hati menurut permintaan ibunya. Namun berlaku kejadian di luar jangka bila Akmar Danial yang diganggu oleh anak Kamarul telah bertindak ‘agresif’ dengan mengigit anak saudaranya itu. Kamarul membelasah adiknya sepuasnya dan Akmar Danial diserang penyakit ‘sawan panas’. Kasih sayang Lijah dan Seman yang memulihkan dan menjaga Akmar Danial telah menginsafkan Kamarul.
Kamarul telah menasihati Seman dan Lijah supaya membenarkan Akmar Danial berkerja bagi tujuan mengubah sikap dan melatih Akmar Danial hidup berdikari serta jangan terlalu bergantung kepada bantuan kewangan dari kerajaan. Kamarul akhirnya telah mengambil peranan Seman dan Lijah untuk membentuk sikap berdikari dalam diri Akmar Danial walaupun dibentak oleh Mustafar. Ketegasan Kamarul mendidik Akmar Danial telah menyedihkan Lijah dan Seman tetapi mereka tiada pilihan.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.