in

Haiwan Peliharaan Adalah Teman Ideal Peminat Tegar Drama Bersiri

Kajian terbaharu menunjukkan bahawa penonton lebih suka memilih haiwan peliharaan sebagai teman ketika menonton siri kegemaran mereka

Haiwan peliharaan sememangnya sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di hati kita semua. Hakikatnya kita amat menyayangi si comel dalam hidup kita ini sehingga ada yang memperuntukkan cuti sakit untuk haiwan peliharaan seperti di Itali, menyediakan perkhidmatan pengangkutan mesra haiwan peliharaan seperti di Singapura dan kafe istimewa untuk haiwan peliharaan seperti yang ada di Malaysia. Kita amat menyayangi haiwan peliharaan kita, hinggakan ada yang sanggup membawa haiwan berkenaan bersama-sama menyertai acara larian amal bagi mengutip derma untuk badan-badan kebajikan.

BI_Netflix_Woof_InfographicV7 v2

Jadi, tidak hairanlah jika rakan berbulu kita itu (termasuk yang berbulu pelepah) turut mempengaruhi cara bagaimana kita berhibur. Kenyataan ini sukar disangkal kerana sememangnya setiap kali anda terpaku menonton rancangan TV kegemaran anda, di situ pasti ada si comel yang setia menemani anda. Anda sebenarnya tidak keseorangan, kajian terbaharu Netflix menunjukkan kebanyakan penonton TV (58%) memilih haiwan peliharaan mereka sebagai teman ideal untuk menonton siri kegemaran secara maraton (binge watching). Malah, dalam rantau Asia Pasifik, penonton di Thailand (80%) dan India (75%) merupakan yang teramai bersetuju bahawa haiwan peliharaan adalah pilihan yang terbaik untuk dijadikan sebagai teman ketika menonton rancangan kegemaran.

Memang benar, ada banyak natijahnya jika anda memilih untuk menonton sesuatu rancangan dengan teman manusia. Contohnya, mereka mungkin akan mendedahkan jalan cerita sesuatu siri itu kepada anda, berlaku curang dengan menonton terlebih dahulu, atau lebih buruk lagi mendesak anda untuk menonton rancangan pilihan mereka. Semua perkara tersebut tidak akan berlaku jika anda memilih haiwan peliharaan sebagai peneman. Anda tidak perlu bercakaran dengan si comel anda bagi mendapatkan alat kawalan jauh TV, si comel juga juga tidak akan menilai pilihan anda (boleh didebatkan), dan apa yang pasti adalah anda boleh memeluk haiwan peliharaan anda seperti ‘bantal berbulu’ yang empuk bagi menenangkan perasaan ketika menonton babak yang menyedihkan atau menyeramkan (tanpa perlu berselindung).

Namun begitu, tidak semuanya mudah seperti yang disangka. Lebih daripada satu pertiga responden (37%) mengakui terpaksa mengalih tempat duduk mereka bagi memastikan si comel selesa! Terdapat sebilangan kecil (12%) yang sudi berhenti menonton kerana haiwan peliharaan mereka tidak berminat dengan siri yang ditonton. Sementara 19% daripada mereka memilih untuk menonton sesuatu rancangan kerana menyangka haiwan peliharaan mereka akan menyukainya. Kesemua data berkenaan membuktikan betapa eratnya hubungan kita dengan haiwan peliharaan masing-masing. Sebab itulah ada 22% daripada responden yang mengaku bersalah kerana ‘merasuah’ haiwan peliharaan agar terus setia menonton bersama mereka, terpaksa beri makan suap!

Jadi, apakah siri yang menjadi pilihan para pencinta haiwan berkenaan? Pemilik anjing didapati lebih cenderung untuk menonton drama seperti Narcos dan The Crown. Hamba kucing pula (ya, anda bukannya tuan) menggemari siri seperti Black Mirror dan Star Trek Discovery. Manakala, pencinta burung pula lebih suka bertenggek menonton siri komedi seperti Grace and Frankies. Satu-satunya siri yang jadi pilihan untuk ditonton bersama tanpa mengira spesis ialah… Stranger Things (#justiceformews).

Metodologi

Kajian berkenaan telah dijalankan oleh SurveyMonkey bermula dari 9 hingga 25 Januari 2018 melibatkan lebih 50,000 responden. Sampel kajian terdiri daripada pengguna internet dewasa yang menonton Netflix bersama dengan haiwan peliharaan mereka di Argentina, Australia, Brazil, Kanada, Chile, Colombia, Denmark, Perancis, Jerman, India, Ireland, Itali, Mexico, Belanda, New Zealand, Peru, Poland, Portugal, Romania, Afrika Selatan, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden, Thailand, Turki, Amerika Syarikat, United Kingdom.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Misi Mak Cun Ke New York Pun Bermula

Pencarian Bakat Baharu Peminat Onerepublic Tunjuk Bakat Dalam Pertandingan Nyanyian