Nak ‘Propa’ Tapi ‘Terkantoi’
MEMANG dah banyak kali Ad Lib dengar cerita-cerita artis kita yang suka menipu wartawan, pendek kata kaki ‘propa’. Dalam kebanyakan kes, pembohongan artis ni selalunya disusuli oleh lakonan dan kepura-puraan yang maha berkesan hingga adakalanya tertipu jugalah wartawan-wartawan malang ni dibuatnya.
Baru-baru ni, sorang teman datang meluahkan rasa tak puas hatinya dengan sorang pendatang baru yang membina nama melalui sebuah program realiti nyanyian ni.
Kata teman yang juga sorang wartawan tu, dia bengang dengan sikap kepura-puraan penyanyi lelaki berkulit gelap ni. Sudahlah menipu, tak pandai pula menipu hingga terkantoi depan muka.
Sebagai wartawan, dah tentu teman Ad Lib tu menghubungi penyanyi yang pernah memenangi augerah vokal terbaik ni atas sebab kerja, sama ada nak temubual atau nak panggil untuk sesi fotografi.
Bila teman Ad Lib hubunginya baru-baru ni, pemilik suara di hujung talian tu boleh pula jawab dengan selamba dan penuh keyakinan, teman Ad Lib tu tersalah nombor. Padahal, penyanyi tu juga yang bagi nombor telefon bimbitnya pada teman tu sebelum ni.Yang lagi buat teman tu geram sebab dia cam suara ala-ala ‘kepit’ yang menjawab panggilan tu adalah milik penyanyi tu. Janganlah ingat wartawan ni berfikiran cetek pula, boleh nak ‘dikelentong’ macam tu sekali!
Mengomel panjanglah teman Ad Lib tu jadinya bila terasa seperti diperbodoh-bodohkan oleh penyanyi yang pernah hangat jadi bualan gara-gara beraksi ‘panas’ dengan sorang penyanyi wanita yang lebih senior di tempat umum, sebelum ni.
Tapi penyanyi tu tak fikir panjang sebelum menipu teman Ad Lib tu. Apa taknya, sah-sahlah industri hiburan kita ni tak besar mana, pi mai pi mai tang tu gak. Pada satu majlis baru-baru ni, teman tu terserempak dengan penyanyi tu lagi.
Dek tindakan kurang cerdik si penyanyi tu, teman tu pun menggunakan peluang yang terhidang depan mata untuk bertanya sendiri pada tuan punya badan mengapa dia menipu dan kata salah nombor pada teman tu sedangkan suara penyanyi tu amat dikenalinya.
Nak tahu apa reaksi penyanyi tu bila ‘ditembak’ depan-depan, dengan muka tak bersalah dia kata, dia sangkakan peminat yang mengacaunya di telefon, sebab itulah dia tipu macam tu.
Jawapan penyanyi tu bukan saja tak meyakinkan malah menampakkan lagi kecetakan akal fikirannya. Ada ke patut dia cakap macam tu? Memang tak dinafikan kalau dah banyak sangat orang yang tak dikenali menelefon kita untuk perkara remeh-temeh tentu agak merimaskan.
Tapi sebagai manusia yang diberi akal dan fikiran, takkanlah tak reti nak tapis dan nilai, kot? Teman Ad Lib tu menelefon artis tu sebab kerja bukan dia ‘hadap’ pun nak bergurau-senda dengan penyanyi tu dalam telefon.
Kata teman tu, kalau nak ‘propa’ pun, gunalah cara yang bijak sikit. Ini setakat cakap salah nombor, tapi suara kau tu orang boleh cam, apa kesnya?
Semoga cerita ni jadi iktibar pada semua artis agar lebih tahu menghormati tugas wartawan. Kita kan saling memerlukan dan kenalah saling menghormati karier dan privasi satu sama lain.
Kalau bersebab, takde kerjalah wartawan ni nak sibuk-sibuk kacau hidup artis-artis sekalian, oiii… Sendiri mau ingatlah, ya. {mstar Online]