Dengarnya…: Penyanyi celupar buat hal lagi
RASANYA sebelum ini sudah berbuih mulut Cik Normah menasihatkan artis yang seorang ini. Tapi nampaknya dia ini boleh diibaratkan seperti mencurah air ke dalam daun keladi. Kata-kata nasihat yang diberikan padanya memang tak memberi kesan langsung. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Entah mengapa, sejak menceburi dunia seni, dia memang mempunyai masalah untuk mengawal mulutnya. Kata-kata yang terpacul dari mulutnya mesti akan menyakitkan hati sesiapa yang mendengarnya. Terbaru Cik Normah dengar, dia buat hal lagi.
Menurut sumber Cik Normah yang berada di seberang lautan sana, penyanyi ini diundang untuk menjayakan persembahan makan malam oleh sebuah syarikat gergasi. Syarikat apa? Biarlah ia menjadi rahsia.
Sewaktu mengadakan persembahan, biasalah sebelum menyanyi, penyanyi ini berkomunikasi dengan tetamu yang boleh tahan ramai malam itu. Cuma yang tak sedapnya, ada ke patut dia mempersoalkan kredibiliti syarikat terbabit di hadapan khalayak yang hadir.
Apa lagi, terkejut badaklah semua yang berada di dalam dewan itu. Berani mati sungguh si penyanyi ini mengeluarkan soalan kurang cerdik seperti itu. Kalau ya pun nak bergurau, banyak lagi perkara lain yang boleh dikatakan daripada mempertikaikan kewibawaan syarikat yang memberikannya rezeki malam itu.
Disebabkan mulutnya yang lancang itu, sewaktu dia menyanyi, hampir separuh tetamu yang hadir keluar dewan. Mungkin masing-masing menyampah nak tengok muka penyanyi yang tak sedar diri ini. Tak taulah Cik Normah kalau si penyanyi itu masih tak sedar diri lagi. Asyik nak ikut kepala sendiri saja.
Bila kejadian seperti ini berulang kembali, Cik Normah pun tak tahu nak nasihat apa lagi. Iyalah, bila nasihat, nanti dia buat balik perangai lama. Kalau macam inilah, Cik Normah hanya mampu menggeleng kepala saja. Malas nak layan.