FESTIVAL NADA PUITIKA – SEBUAH MUZIKALISASI PUISI PUSAT PELANCONGAN MALAYSIA (MaTiC), KUALA LUMPUR.
Festival Nada Puitika – Sebuah Muzikalisasi Puisi dianjurkan oleh Meja Poedjangga Malaysia dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) KL, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan sokongan Hannan Medispa pada 31 Mac 2018 bermula 3 petang hingga 11 malam.
Ia diwujudkan sebagai sebuah festival puisi, muzik dan penggayaan yang ditunjangi oleh Penyair Muda ASEAN 2015 dari Malaysia, Umar Uzair yang akan berkolaborasi bersama Deklamator Nasional/Ikon Guru Kebangsaan 2015 – Lin Haslinaz, Shirley Idris (Deklamator & Aktivis Seni), Orkestra Tradisional Anak Kayan dari Pahang. Turut bersama dalam acara ini alah penyair belia tersohor dari Banten, Indonesia – Muhammad Rois Rinaldi, Shamsudin Osman @Dinsman (Budayawan Teater), Aina Nabila Ahmad (Aktivis dan penulis nasional), Athan 6th Sense dan penampilan khas oleh kumpulan selebriti Bratz & Co (kumpulan tukang gunting dibawah pengurusan Joe Flizzow).
Objektif pelaksanaan acara ini adalah untuk meraikan semangat positif dan kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dengan mempamerkan rasa cinta terhadap budaya dan bahasa Melayu. Ia didatangkan dalam tiga buah slot iaitu:
3.1. Puitikata (Mini Auditorium, 4 – 5 petang) berupa perbincangan santai tentang sastera perdana dan sastera indie;
3.2.Di Balik Bangku Tukang Gunting oleh Bratz & Co (Amphitheater, 3 – 7 petang) yang akan membawakan dialog, pertunjukkan gaya rambut dan menyingkap kreativiti dan kehidupan perkumpulan tukang gunting di Malaysia;
3.3. Konsert Nada Puitika (Dewan Tunku Abdul Rahman, 8.30 – 10.30 malam) sebuah persembahan muzikalisasi yang teradun deklamasi, muzik, lagu puisi dan fragmen teater selama dua jam tanpa henti.
3.4. Turut akan diadakan ialah pelancaran Kumpulan Puisi Pascamoden – Pujangga Bujang Lara, karya ke enam oleh Umar Uzair.
3. Tiket-tiket boleh didapati di Kaunter Matic atau terus hubungi [email protected] / 0176976761 dengan pecahan
Ketegori 1 – RM20 : Konsert Nada Puitika & Puitikata
Kategori 2 – RM40 : Di Balik Bangku Tukang Gunting
Kategori 3 – RM50 – Masuk Semua.
Istimewanya dengan setiap pembelian tiket, peminat dan penonton akan mendapat kad diskaun rawatan kecantikan bernilai RM100 tajaan Hannan Medispa.
Hal ini bersesuaian dengan semangat dan kualiti seni yang dikehendaki Kuala Lumpur menjelang KLBaca 2020 sebagai Kota Buku Dunia yang aktif dan positif dalam menganjurkan acara kesenian dan kepuisian negara. Acara ini juga bertitik tolak dari kejayaan Meja Poedjangga (M) Ent dengan kerjasama Youth Beat Event Management yang telah mengadakan Konsert Puitika Pujangga 2017 di Istana Budaya pada Aprill 2017 seterusnya Festival Puitika Penang 2017 di Georgetown.
Ia diadakan sebagai langkah menghargai penglibatan belia dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu dan sastera serta kesusasteraan dari peringkat awal serta penglibatan masyarakat. Program ini turut disimpulkan sebagai kesinambungan tradisi yang berteraskan kepada sastera yang jelas dan unggul. Ia diwujudkan dalam bentuk persembahan, muzik & pembacaan puisi untuk memacu pembangunan seni budaya dan kesusasteraan untuk menghargai pejuang bahasa dan sasterawan negara.
Nada Puitika diadakan sebagai meningkatkan apresiasi yang berkekalan oleh golongan korporat dan syarikat swasta terhadap ketokohan dan kesenian tradisi Melayu supaya terus dikenali dengan baik buat khayalak masyarakat, pengkaji serta sarjana seni, budaya dan sastera, khususnya.
Pelaksanaan Festival Nada Puitika – Sebuah Muzikalisasi Puisi ini adalah murni sebagai wadah untuk mengembangi kesenian puisi dan bahasa selain memasyarakatkan karya sastera dari pelbagai peringkat akar dalam penyatuan pelbagai sudut kesenian.
Melalui program ini turut beriltizam untuk mengimarahkan seni dan budaya kebangsaan melalui pelbagai aktiviti baca puisi dan persembahan sastera supaya khazanah yang ditinggalkan oleh Nusantara Melayu Raya ini sentiasa menjadi tauladan dan pekerti yang baik, membina modal insan serta bangsa Malaysia yang sejati serta akan memurnikan nilai kebangsaan Malaysia.