Memiliki seorang anak istimewa autisme, pastinya ibu bapa berdepan cabaran lebih berbanding membesarkan anak-anak yang normal. Masing-masing ada perangai sendiri. Namun hakikatnya setiap anak itu istimewa. Justeru sebagai ibu bapa perlu menyesuaikan diri dengan peribadi mereka dan perhatian lebih harus diberikan terutama ketika peringkat awal tumbesaran.
Memandang serius pendekatan kesedaran mendepani anak-anak autism, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan telemovie khas bertajuk “Luyak” arahan Noor Azizah Muhamad, Unit Drama TV RTM yang disiarkan pada 19 Januari ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2.
RTM Siar Telemovie “Luyak”, Kisah Anak Autisme Di TV2
Menjalani penggambaran 20 hingga Oktober 2017 di Melaka dan Muar, telemovie ini menampilkan lakonan mantap menyentuh hati oleh Zarina Zainuddin, Putri Syasya Masyithah, Shakila Koriri, Azam Pit, Roydy, Nurul Fateha, Zarina Zainoordin, dan Kamal Bakar.
Kisahnya bermula dengan watak Hidayah seorang kanak-kanak mild autism yang dipanggil Luyak oleh penduduk kampung. Hidayah selalu berada dalam dunianya sendiri dan menganggap bahawa ayahnya Zamani masih hidup. Hidayah dibenci ibunya sendiri Zaleha, kerana Hidayah dianggap sebagai punca kematian Zamani.
Saban hari, Hidayah akan merayau ke seluruh kampung, dan selalu dipukul oleh Zaleha kerana Hidayah sering melakukan sesuatu yang mendatangkan kemarahan Zaleha, dan kelakuan Hidayah sering mendapat aduan dari penduduk kampung. Zaleha juga selalu melebihkan-lebihkan anak sulungnya Sofea, dan membezakan kasih sayang antara kedua anaknya itu.
Cikgu Murni yang baru bertukar sekolah di kampung itu, mendapat tahu tentang Hidayah yang menghidap mild autism, lalu cuba untuk membantu Hidayah kerana pengalaman Cikgu Murni sebelum ini bahawa adiknya juga pernah menghidap mild autism seperti Hidayah. Kedatangan Cikgu Murni sedikit sebanyak memberi sinar baru buat Hidayah, namun Zaleha juga tidak dapat menerima takdir tentang Hidayah, sehingga dia selalu memukul dan menyeksa Hidayah.
Satu hari, kelakuan Hidayah telah menyebabkan Sofea mengalami kemalangan kecil, lalu membuatkan Zaleha hilang kewarasan sehingga sanggup merantai kaki Hidayah seperti binatang.
Sepuluh tahun berlalu sejak kematian Zamani, Zaleha masih tetap memukul dan membenci Hidayah, seolah-olah Hidayah itu bukan anaknya. Sofea pula telah menyambung pelajaran di Kuala Lumpur dan jarang sekali pulang ke kampung kerana sibuk di kolej. Dengan kuasa Tuhan, satu hari ketika Zaleha mahu menendang Hidayah yang sedang makan, tubuh Zaleha telah mengalami kekejangan sehingga lumpuh sebelah badan.
Selama Zaleha lumpuh, Sofea sebagai anak kesayangan Zaleha tidak pernah berkesempatan untuk menjenguk Zaleha, malah Hidayah anak yang dibencinya itulah yang telah menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang tanpa sebarang perasaan benci dan dendam terhadapnya.
Zaleha mula menyesal akan segala perbuatannya, dan mula menganggap Hidayah sebagai anaknya. Di saat Zaleha telah menerima takdir bahawa kematian Zamani bukanlah kesalahan Hidayah, telah berlaku sesuatu yang tragis pada Hidayah akibat sikap Zaleha sendiri.
Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.