in

Tips & Cara Elak Kena Scam

PENGGUNA BOLEH ELAK DIPERDAYA JIKA TAHU CARA KENAL PASTI SCAM

Nombor telefon pengguna menjadi antara data peribadi paling berharga dalam dunia digital pada hari ini dan menjadi sangat berbahaya jika ia diperoleh oleh penjenayah yang menggunakannya untuk memperdaya pengguna seperti penipuan scam. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai kes melibatkan pengguna yang terpaksa menanggung kerugian sehingga beratus ribu ringgit telah didedahkan di dalam media dan media sosial akibat terjerat dengan penipuan scam.

Sebagai sebuah forum industri yang berperanan untuk memperkasakan pengguna, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menggesa para pengguna agar lebih berwaspada apabila menerima panggilan yang mencurigakan dan sentiasa peka mengenai teknik penipuan yang digunakan sindiket scam bagi mengelakkan diri daripada ditipu menerusi kegiatan haram tersebut.

Pengguna perlu mengetahui bahawa tujuan utama sindiket tersebut adalah untuk mendapatkan butiran peribadi perbankan daripada mangsa yang tidak dapat menghidu kegiatan licik mereka. Taktik yang digunakan sindiket tersebut ialah dengan meyakinkan mangsa bahawa mereka adalah wakil bank atau badan penguatkuasa undang-undang. Mereka akan menakut-nakutkan mangsa sehingga dapat mempengaruhi mangsa untuk memberikan butiran perbankan kepada mereka supaya mereka dapat mengeluarkan wang daripada akaun bank mangsa.

Melalui kaedah “Caller ID Spoofing”, sindiket penipuan scam boleh meniru nombor telefon pihak lain dan nombor tersebut akan tertera pada telefon mangsa yang dihubungi. Mereka akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai dan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan kes jenayah, saman mahkamah, mempunyai jumlah tunggakan kad kredit atau mereka akan cuba mewujudkan situasi yang membuatkan mangsa panik sekaligus menjadikan mangsa percaya bahawa panggilan berkenaan adalah daripada pihak berkuasa atau agensi yang sah.

“CFM menasihati pengguna agar sentiasa peka dengan teknik-teknik terkini yang digunakan oleh sindiket scam untuk memperdaya pengguna menjadi mangsa mereka. Ia juga amat penting bagi pengguna untuk memahami implikasi jika mendedahkan maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya kepada pihak yang diragui. Jika mendapat panggilan yang mencurigakan, CFM menyarankan agar pengguna menghubungi sendiri institusi yang berkaitan atau terus pergi ke pejabat insitusi tersebut yang berdekatan dengan anda untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Berikut ialah saranan CFM kepada pengguna untuk mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan scam:

TIPS CFM BAGI ELAK MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN SCAM

1. Jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.

2. Jangan berikan sebarang maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda kepada pihak yang tidak dikenali. Jika pihak tersebut meminta maklumat tentang kad debit/kredit dan perbankan online anda, lebih baik anda tamatkan sahaja panggilan tersebut.

3. Jika anda menerima panggilan daripada bank atau pihak penguatkuasa undang-undang mengenai sebarang masalah undang-undang melibatkan anda, catat butiran daripada pihak yang menghubungi anda dan maklumkan kepada mereka yang anda tidak dapat bercakap pada waktu tersebut dan akan menghubungi mereka semula. Bertenang dan jangan panik. Semak nombor telefon bank anda atau pihak penguatkuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Alternatif lain, anda boleh ke pejabat mereka untuk menyelesaikan urusan berkenaan.

4. Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi Malware atau Spyware yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda.

5. Hubungi Penyedia Perkhidmatan anda jika anda menerima panggilan yang tidak dikenali berulang kali.

6. Gunakan aplikasi seperti “Truecaller” bagi mengenal pasti panggilan dan menyekat panggilan spam. Selain itu, pengguna juga perlu mengambil beberapa langkah proaktif bagi melindungi data peribadi agar tidak terdedah dan menjadi sasaran sindiket penipuan, tanpa perlu menghentikan semua aktiviti dalam talian.

Berikut merupakan beberapa tips daripada CFM: SARANAN CFM KEPADA PENGGUNA UNTUK MELINDUNGI DATA PERIBADI

1. Jangan beri nombor telefon peribadi anda untuk mendapatkan hadiah percuma atau baucar promosi. CFM menasihati pengguna agar membuat emel alternatif jika terdapat keperluan untuk mendaftar menggunakan alamat emel yang hanya mempunyai maklumat peribadi minimum untuk boleh dikenal pasti bagi mendapatkan hadiah percuma dan baucar promosi.

2. Berhati-hati apabila mendaftar untuk sebarang pertandingan dan cabutan bertuah. Baca terma pertandingan dengan teliti sama ada penganjur pertandingan akan berkongsi data anda kepada pihak lain.

3. Sentiasa waspada apabila mendaftar maklumat peribadi anda di mana-mana laman web. Beri nombor telefon anda jika ia benar-benar diperlukan.

4. Sebelum memuat turun sebarang aplikasi pada telefon pintar anda, baca polisi privasi dan dapatkan maklumat yang tepat. Buat semakan di Google bagi mendapatkan ulasan tentang aplikasi tersebut yang akan membantu anda untuk mengenal pasti sebarang aplikasi yang mencurigakan.

Untuk kupasan lanjut mengenai perangkap penipuan scam, tonton temu bual khas CFM di dalam program RTM Suara Kita Hak Kita di pautan berikut: https://goo.gl/GLSw9o CFM sentiasa komited untuk mengutamakan hak-hak pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia.

CFM adalah platform sehenti buat pengguna untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan tips berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Pengguna boleh melaporkan aduan yang tidak diselesaikan penyedia perkhidmatan dengan menghubungi talian bebas tol CFM melalui 1-800-18-2222 atau emel ke [email protected]. #HakAndaKeutamaanKami #JadilahPenggunaYangBijak #AmbilTahu #JadilahPenggunaCelikTeknologi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kenali Apa Itu Aplikasi ONEMUSIC My Social Entertainer

Cubaan Beli Adik Tumpaskan Sindiket Jual Bayi Dalam Telemovie BELI ADIK