SELEPAS berita yang kononnya Aishah tidak mendapat tajaan untuk pakaian dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4) tular, nampaknya ramai pereka fesyen tampil menghulurkan tangan.
Terdahulu, pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo berhasrat untuk menghadiahkan sepasang busana buat Aishah apabila untuk dia beraksi di pentas akhir GV4 nanti.
Kemudian, seorang lagi pereka fesyen terkenal Amir Kadir terpanggil untuk menaja pakaian penyanyi 52 tahun itu sepanjang penglibatannya dalam program nyanyian tersebut.
Nampaknya memang rezeki Amir untuk berkolaborasi dengan Aishah pada konsert minggu ini.
Menurusi laman Instagram miliknya, Amir memuat naik satu entri gambar bersama Aishah yang bersyukur penyanyi Janji Manismu itu memilih rekaan beliau untuk diperagakan.
Perkongsiannya di laman itu nampaknya disambut baik netizen dan rata-ratanya tidak sabar untuk menyaksikan busana yang dihasilkan Amir.
Nama Amir Kadir telah mewarnai dunia fesyen tanah air sejak 30 tahun lalu dan sudah 16 tahun bermastautin di Kuwait mengembangkan bakatnya.
Dalam perjalanan 16 tahun di negara asing, Amir mencipta nama di persada antarabangsa apabila berjaya menjadi pereka baju kepada penyanyi terkenal luar negara.
Antaranya ialah Jennifer Lopez, Paris Hilton, Taylor Swift, jessie J dan ramai lagi.
Walaupun nama Amir yang menjadi pilihan untuk mereka baju untuk persembahan malam ini, namun, Aishah masih engalu-alukan kerjasama dengan pereka fesyen lain.
Terdahulu, Aishah teruk dikritik apabila memperagakan gaun labuh berwarna merah ketika mendendangkan lagu Dingin daripada Ziana Zain.
Katanya, busana yang dikenakan penyanyi itu tidak sesuai dengan status penyanyi legenda yang disandangnya.
Dengan kerjasama yang terjalin antara penyanyi ini dengan pereka fesyen tanah air, diharapkan tiada lagi isu yang timbul mengenai penampilannya selepas ini.
Apapun good luck buat Aishah serta 10 lagi peserta lain yang bakal berentap pada pentas Gegar Vaganza 4 malam ini!