Baru saja dilancarkan hari ini, album sulung Nur Fazura Sharifuddin berjudul Fazura mencatat sejarah tersendiri apabila dijual sebanyak 5,000 unit.
Pencapaian itu membolehkan Fazura menerima anugerah emas daripada syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia, pada majlis pelancaran album berkenaan di sebuah hotel, di sini.
Mengulas kejayaan album itu, Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 itu mengakui sangat terharu apabila mengenangkan pengalaman pahit dan manis tatkala rakaman.
“Saya pernah dikecam dan dikritik oleh mereka yang tidak senang melihat saya menyanyi. Namun tak mengapa, saya anggap semua itu sebagai doa dan juga pembakar semangat untuk terus berjaya,” kata pelakon berusia 34 tahun ini.
Fazura juga tidak dapat menahan sebak apabila dilihat mengalirkan air matanya ketika menyanyikan lagu, Hanya Tuhan Yang Tahu. Ia antara karya yang dimuatkan dalam album sulungnya itu.
Album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu memuatkan sembilan lagu, antaranya Bangun, Bisa Apa, Cinderella, Cinta Langka, Hanya Tuhan Yang Tahu dan Only God Knows.
Single pertamanya, Sayangi Dirimu, yang dirakam semula dalam bentuk akustika turut dimuatkan dalam album itu.
Terdahulu, pada majlis sama, penyanyi Sayangi Dirimu ini turut diperkenalkan sebagai Duta Produk Sahajidah Hai-O Marketing.
Sumber: Berita Harian Online