Sempena Karnival Sehati@RTM #mohlaweh, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan konsert khas yang diberi nama “Konsert Pesona” disiarkan secara langsung pada 4 November ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2.
Konsert yang bakal menghimpunkan artis-artis ternama tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Saleem, Ezad Lazim dan Mus May akan mengembalikan zaman 80 hingga 90an dimana lagu-lagu seperti Sendiri, Suci Dalam Debu dan Isabela 98 akan dipertaruhkan.
Bukan itu saja, Ratu Dangdut Amelina turut mencuri tumpuan bersama Siti Sarah Raisuddin dengan lagu berbisa mereka. Konsert ini turut diiringi oleh kombo RTM. Generasi Muda yang hadir turut bakal dihiburkan dengan Ernie Zakri, Wany Hasrita, Tajul, Haqiem Rusli, dan Waris.
Konsert yang menampilkan pengacara anak jati kelahiran Pahang iaitu Karl Shafek dan Sharifah Shahirah ini turut menampilkan artis tempatan seperti Zetty dan Anok Semantan.
Konsert terbitan Hiburan TV RTM yang bakal berlangsung bertempat di Dataran Serambi Teruntum, Kuantan Pahang ini juga boleh ditonton secara langsung melalui myklik.rtm.gov.my dan Facebook live TV2.